Hampir 170 keluarga berpendapatan rendah berbilang agama yang tinggal di barat dan timur Singapura menerima habuan barang dapur pada 22 Februari, di bawah usaha SalamSG Gives, sebuah inisiatif SalamSG yang diterajui masjid dan disokong Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Agihan dari rumah ke rumah itu, yang diterajui Masjid Al-Khair di Teck Whye Crescent dan Masjid Abdul Aleem Siddique di Telok Kurau, adalah yang pertama sebelum usaha itu dilanjutkan ke daerah lain serata Singapura pada 15 Mac.
Agihan selanjutnya akan diterajui Masjid Al-Muttaqin dan Masjid Ahmad Ibrahim bagi daerah utara, serta Masjid Omar Kampung Melaka dan Masjid Haji Muhd Salleh (Palmer) bagi daerah selatan.
Secara keseluruhan, usaha itu akan memberi manfaat kepada 480 isi rumah, satu peningkatan sebanyak 30 peratus daripada tahun lalu.
Pada 22 Februari, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong; dan Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim serta Encik Don Wee Boon Hong, hadir di Masjid Al-Khair untuk menyaksikan persediaan yang dibuat untuk agihan habuan itu serta bertemu relawan yang menggembleng tenaga menjayakan usaha itu.
Selain kakitangan masjid, rakan masyarakat dan belia Persatuan Muslim Universiti Nasional Singapura (NUSMS), dan anggota Kumpulan Keharmonian Kaum dan Agama juga turun padang memberi kerjasama.
Ditemui Berita Minggu (BM), penolong pengurus Masjid Al-Khair selaku anggota pasukan projek SalamSG Ramadan, Encik Nur Azhar Azman, berkata kelainan pada 2025 ialah barang yang diagih bukan buat penerima bantuan zakat beragama Islam sahaja, bahkan keluarga bukan Islam yang memerlukan.
“Kami perlu menegakkan masyarakat harmoni dan inklusif. Melibatkan agama lain adalah cara kami sebagai orang Islam menyebar rahmah kepada semua,” ujarnya.
Pengerusi bersama SalamSG Ramadan, Encik Faizal Abdul Rahim, menambah bahawa usaha itu dapat merapatkan jurang antara kumpulan agama yang berbeza.
Menurutnya, usaha itu juga dapat melengkapi keluarga Muslim untuk bersedia secara fizikal dan rohani bagi Ramadan, memastikan mereka dapat benar-benar menghayati semangat bulan tersebut.
Pek yang diagihkan kepada penerima bantuan mengandungi beras, biskut, sardin, minyak masak dan mi segera.
Di samping itu, kerusi dan meja belajar boleh lipat dihantar ke rumah 20 penerima bantuan zakat.
Antara relawan yang menghulurkan bantuan dalam usaha SalamSG Gives ialah mahasiswi tahun keempat NUS, Cik Aisyah Nurul Izza, 23 tahun.
Cik Aisyah berkongsi bahawa beliau berharap dapat mendekati keluarga yang ditemuinya supaya dapat mengenali mereka dengan lanjut dan memahami perspektif serta keperluan mereka.
“Adalah penting bagi kami golongan belia membuat kerja sukarela dalam acara masyarakat kerana kami semua memainkan peranan dalam menyumbang kepada masyarakat.
“Saya juga rasa ini cara yang baik untuk membangunkan sifat empati dan lebih memahami satu sama lain,” ujar pelajar jurusan farmasi itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg