Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

$488,000 wang CPF sebahagian dari $13.3j hilang kepada penipu pada Dis

Feb 1, 2024 | 7:39 PM
Dalam tiga kes yang melibatkan pengeluaran CPF berjumlah sekitar $488,000 secara keseluruhan, mangsa diberitahu untuk memindahkan wang dari akaun CPF mereka ke akaun bank mereka sendiri.
Dalam tiga kes yang melibatkan pengeluaran CPF berjumlah sekitar $488,000 secara keseluruhan, mangsa diberitahu untuk memindahkan wang dari akaun CPF mereka ke akaun bank mereka sendiri. - Foto ZAOBAO

Sekurang-kurangnya 120 orang kehilangan tidak kurang $13.3 juta pada Disember 2023 akibat menjadi mangsa penipuan melibatkan penipu yang menyamar sebagai pegawai pemerintah.

Dalam satu kenyataan bersama pada 1 Februari, pihak polis dan Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPF) berkata mangsa menerima panggilan daripada penipu yang menyamar sebagai pegawai bank yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai transaksi mencurigakan yang kononnya dilakukan mangsa.

Apabila mangsa menafikan melakukan transaksi sedemikian atau memiliki kad bank yang dikatakan digunakan dalam urus niaga itu, panggilan tersebut akan dipindahkan kepada seorang penipu lain.

Penipu kedua, yang mendakwa diri mereka sebagai pegawai pemerintah, sama ada tempatan atau asing, akan menuduh mangsa terlibat dalam kegiatan jenayah seperti pengubahan wang haram.

Mereka kemudian mengarahkan mangsa supaya memindahkan wang ke akaun bank tertentu yang kononnya digunakan oleh pihak berkuasa, atau meminta butiran bank mangsa – semuanya atas alasan rasmi, seperti penyiasatan.

Mangsa hanya menyedari ia adalah muslihat selepas penipu tidak dapat dihubungi atau selepas membuat semakan dengan bank atau polis.

Dalam tiga kes melibatkan pengeluaran CPF berjumlah sekitar $488,000 secara keseluruhan, mangsa diminta supaya memindahkan wang daripada akaun CPF mereka ke akaun bank mereka sendiri.

Mereka kemudian diarahkan memindahkan wang itu ke akaun lain atau memberikan butiran bank mereka.

Menurut kenyataan itu, Lembaga CPF baru-baru ini telah memperkenalkan beberapa langkah keselamatan, termasuk had pengeluaran harian CPF secara dalam talian sebanyak $2,000 yang berkuat kuasa pada 30 November 2023.

Mereka yang ingin menukar had harian itu perlu menggunakan Singpass, dan dikenakan tempoh penyejukan selama 12 jam untuk mengelakkan pelarasan yang tidak dibenarkan.

Sebagai pilihan drastik, mereka juga boleh memberhentikan pengeluaran dalam talian sepenuhnya.

“Langkah-langkah ini ‘menyusahkan’ penipu dan membantu mengurangkan kerugian, namun adalah penting bagi orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap taktik penipuan terkini dan mengelakkan diri daripada menjadi mangsa,” tambah kenyataan itu.

Mereka yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan melibatkan simpanan CPF harus menghubungi Lembaga CPF.

Mereka juga harus memberitahu bank mereka supaya dengan segera membekukan akaun bank mereka, menetapkan semula kata laluan Singpass mereka dan menetapkan had pengeluaran harian CPF mereka kepada $0.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg