Topik diikuti
Pergi ke BHku49 sekolah bakal terima pengetua baharu, 13 dilantik kali pertama
49 sekolah bakal terima pengetua baharu, 13 dilantik kali pertama
Sebanyak 49 sekolah akan mendapat pengetua baharu pada 2027 menyusuli rombakan tahunan, termasuk 13 pegawai pendidikan yang akan menyandang jawatan tersebut buat kali pertama.
Daripada 49 pengetua yang dilantik itu, tujuh daripadanya sedang berkhidmat di ibu pejabat Kementerian Pendidikan (MOE).
Pelantikan yang diumumkan MOE pada 7 Oktober itu melibatkan satu maktab rendah (JC), 15 sekolah menengah dan 33 sekolah rendah.
MOE akan melantik pengetua baharu itu secara rasmi dalam majlis pelantikan dan penghargaan tahunan bagi pengetua pada 30 Disember.
Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, dijadualkan menghadiri majlis itu.
Maktab Rendah Nanyang (NYJC) merupakan satu-satunya JC yang akan menerima pengetua baharu.
Pengetua semasa Sekolah Menengah St Gabriel, Encik Shawn Lim Chee Koon, bakal mengambil alih kepimpinan sekolah tersebut.
Antara enam pengetua sekolah menengah yang dilantik buat kali pertama ialah Encik Timothy Tay Soon Inn, yang kini bertugas sebagai naib pengetua Sekolah Menengah Presbyterian High dan bakal memimpin Sekolah Menengah Anderson.
Sekolah lain yang bakal mendapat pengetua yang dilantik buat kali pertama ialah, CHIJ Katong Convent, CHIJ St Theresa’s Convent, Sekolah Menengah East Spring, Sekolah Menengah Seng Kang dan Sekolah Menengah Yishun.
Sementara itu, tujuh sekolah rendah akan mendapat pengetua yang dilantik buat kali pertama, termasuk Sekolah Rendah Bedok Green, Fuhua, Gan Eng Seng, Jiemin, Lianhua, Palm View dan Si Ling.
Beberapa pemimpin sekolah berpengalaman dan pegawai di ibu pejabat MOE turut akan menyandang jawatan sebagai pengetua.
Salah seorang pengetua yang dilantik buat kali pertama, Cik Patricia Lim Wai Ping, yang merupakan timbalan pengarah di Kumpulan Komunikasi & Penglibatan MOE, bakal memimpin Sekolah Rendah Lianhua.
Superintenden kelompok di Divisyen Sekolah MOE, Cik Sharma Poonam Kumari, pula bakal memimpin Sekolah NorthLight.
Felo pengajaran kanan di Institut Pendidikan Nasional (NIE), Cik Tan Siew Woon, bakal memimpin Sekolah Menengah Manjusri.
Sekolah Rendah Tao Nan pula bakal diketuai oleh Cik Loh Wee Cheng, yang kini memegang jawatan pengarah bahagian di Kurikulum Pembangunan Pelajar MOE.
Manakala, pengetua semasa sekolah berkenaan, Cik Poh Qinyu, akan berpindah ke Sekolah Rendah Valour.
“Pelantikan dan penggiliran pengetua membolehkan sekolah meraih manfaat daripada perspektif dan idea baharu, selain memberi ruang kepada pemimpin sekolah berpengalaman berkongsi kepakaran dan amalan terbaik merentas pelbagai sekolah,” menurut MOE.
Ia juga memberi peluang kepada pengetua untuk meluaskan pengalaman kepimpinan masing-masing, tambah MOE.
Pada 2026, sebanyak 41 sekolah telah menerima pengetua baharu, termasuk 25 pengetua yang dilantik buat kali pertama.
MOE juga akan memberi penghargaan kepada pengetua yang bakal bersara, serta pegawai kanan pendidikan di ibu pejabat yang pernah berkhidmat sebagai pengetua sekolah sebelum ini dan bakal bersara.