Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nurazian Bajuri dilantik pengetua Sekolah Rendah Elias Park

Antara 41 pengetua yang akan dilantik, 25 bakal pegang jawatan buat pertama kali
Oct 8, 2025 | 6:55 PM
Nurazian Bajuri, Elias Park Primary School, School Principal
Cik Nurazian Bajuri akan mengambil alih jawatan pengetua di Sekolah Rendah Elias Park mulai 15 Disember. - Foto ihsan NURAZIAN BAJURI

Cik Nurazian Bajuri, 46 tahun, mula mengajar subjek Kertas Am (GP) di Maktab Rendah Tampines pada 2002.

Sejak itu, beliau menimba pengalaman mengajar di sekolah rendah dan sekolah menengah, serta memegang beberapa jawatan di ibu pejabat Kementerian Pendidikan (MOE), termasuk jawatan naib pengetua di tiga sekolah berbeza.

Kini, 23 tahun kemudian, Cik Nurazian merupakan antara 41 pengetua baru yang akan dilantik menjelang permulaan sekolah pada 2026 – sebahagian daripada latihan pertukaran tahunan oleh MOE.

Seramai 25 daripada 41 pengetua itu – termasuk Cik Nurazian – akan memegang jawatan tersebut buat kali pertama.

MOE bakal melantik para pengetua semasa majlis pelantikan dan penghargaan pengetua yang akan berlangsung pada 30 Disember.

Sebanyak 20 sekolah menengah, 19 sekolah rendah dan dua maktab rendah akan mendapat pengetua baru.

Cik Nurazian, yang kini berkhidmat sebagai Naib Pengetua Sekolah Rendah Si Ling, akan mengambil alih jawatan Pengetua Sekolah Rendah Elias Park daripada Cik Chua Pei Pei, yang akan dipindahkan sebagai Pengetua Sekolah Rendah Punggol Green.

Dalam sesi temu ramah dalam talian bersama Berita Harian (BH), Cik Nurazian berkata salah satu tumpuannya adalah memberi guru-guru lebih banyak masa bermakna untuk mendekati murid.

“Sebagai seorang guru sejati, saya mahu menyokong guru-guru dengan memberi mereka lebih banyak masa untuk membimbing murid-murid dengan lebih mendalam,” kongsi Cik Nurazian.

Cik Nurazian menjelaskan bagaimana teknologi dan kecerdasan buatan (AI) boleh dimanfaatkan untuk mempermudahkan tugas pentadbiran, seperti mencipta borang kebenaran dan memberi maklum balas untuk kerja rumah dengan segera.

Ini sebahagian daripada usaha luasnya untuk menjamin sekolah sebagai ruang selamat dan mampu mendorong murid-murid agar lebih yakin.

“Terdapat segolongan murid yang tidak mempunyai sistem sokongan yang kukuh di rumah… Ia sangat penting yang kami memastikan sekolah menjadi ruang selamat untuk mereka membesar dan menimba ilmu dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Beliau menambah, usaha itu turut dicapai dengan kerjasama kumpulan sokongan ibu bapa.

“Sekolah rendah juga merupakan fasa yang penting untuk membentuk murid-murid yang yakin dan mahir.

“Kami memastikan mereka sedia untuk mulakan pendidikan di sekolah menengah dengan asas yang kukuh,” tambah beliau.

Menurut MOE, sekolah yang akan mendapat pengetua baru mampu meraih manfaat daripada perspektif segar, selain memberi peluang kepada pengetua baru berkongsi amalan baru.

“Para pengetua kami berpeluang meluaskan pengalaman mereka dan memperkukuh usaha sekolah-sekolah baru yang mereka akan terajui,” kata MOE.

Cik Nurazian akan ke Sekolah Rendah Elias Park sebagai pengetua pada 15 Disember dengan pengalaman luas dan motivasi kukuh.

“Sebagai pengetua, saya perlu membuat keputusan terakhir. Oleh itu, saya berhasrat mendapatkan maklum balas, membina hubungan, dan mengekalkan rangkaian sokongan supaya semua pihak dapat bekerjasama dengan baik.

“Saya sangat ghairah untuk menggunakan segala kaedah yang saya ada dan memanfaatkan pengalaman saya demi memajukan sekolah,” kata Cik Nurazian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg