5 agensi hartanah setuju tangani isu pembahagiaan risalah di HDB
5 agensi hartanah setuju tangani isu pembahagiaan risalah di HDB
Lima agensi hartanah terbesar di Singapura, yang menguruskan lebih daripada 85 peratus ejen hartanah di sini, telah bersetuju untuk menangani isu risalah yang mengganggu di estet perumahan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Bagi menggantikan amalan meletakkan risalah di pagar, pintu dan kawasan umum lain, ejen hartanah kini diarah agar meletakkan risalah di dalam peti surat atau mengedarkannya melalui pos atau perkhidmatan penghantaran risalah.
Penting untuk diingat bahawa risalah tersebut tidak boleh “terlihat oleh orang awam selain penerima yang dimaksudkan,” kata Institut Ejen Hartanah Singapura (SIEA) dalam satu kenyataan pada 13 Februari.
Garis panduan baru itu akan berkuat kuasa mulai 1 April.
Tindakan akan diambil terhadap ejen yang melanggar peraturan tersebut.
Lima agensi – PropNex Realty, ERA Realty Network, Huttons Asia, OrangeTee & Tie dan SRI – telah menandatangani perjanjian rasmi mengenai isu itu pada 13 Februari.
Secara keseluruhannya, agensi tersebut mewakili lebih 32,000 ejen hartanah setakat 1 Januari, kata Majlis Agensi Hartanah (CEA).
Terdapat sejumlah 36,816 ejen di Singapura.
Dalam kenyataan pada 13 Februari, SIEA berkata agensi itu mengakui keperluan untuk meminimumkan ketidakselesaan yang disebabkan oleh risalah yang diletakkan dengan tidak betul di pagar, pintu dan kawasan umum di kawasan HDB.
Agensi berkenaan juga akan mengamalkan pendekatan standard untuk menangani pelanggaran garis panduan baru tersebut.
Ejen akan menerima surat amaran bagi pelanggaran pertama mereka.
Bagi pelanggaran kedua, mereka akan menerima surat yang sama dan diwajibkan untuk menghadiri kursus mengenai pengedaran risalah secara beretika yang dianjurkan oleh SIEA.
Jika mereka melanggar peraturan kali ketiga, mereka akan digantung daripada mengedarkan risalah ke rumah HDB selama enam bulan dan tempoh penggantungan akan diteruskan sehingga mereka mempunyai rekod bersih selama dua tahun.
Lima agensi tersebut perlu memaklumkan SIEA tentang ejen hartanah yang telah menerima aduan daripada penduduk dan badan industri akan menyimpan rekod semua pelanggaran.
“Pendekatan berpusat ini membolehkan SIEA untuk terus menjejak pelanggaran walaupun seorang jurujual hartanah bertukar agensi atau meninggalkan industri dan kemudian kembali semula,” tambahnya.
Pegawai Ketua Agensi, OrangeTee & Tie, Encik Raymond Khoo, berkata pengedaran risalah yang tidak beretika telah lama menjadi punca rasa tidak puas hati bagi penduduk.
Beliau berkata agensi itu komited untuk memastikan risalah diedarkan hanya melalui saluran yang betul dan dibenarkan.
Pegawai Eksekutif Utama, PropNex Realty, Encik Lim Yong Hock, berkata pengedaran risalah adalah penting bagi ramai ejen hartanah kerana ia merupakan alat pemasaran yang kos efektif.
“Pada masa yang sama, kami menyedari kebimbangan penduduk mengenai pengedaran risalah.
“Kami komited untuk bekerjasama rapat dengan SIEA bagi memastikan jurujual kami mengikuti proses yang jelas, bertanggungjawab dan terperinci ketika mengedarkan risalah kepada pemilik rumah,” tambahnya.

