Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

5 lelaki akan didakwa dalam 5 kes cabul 

Jan 15, 2025 | 6:23 PM
Seorang lelaki berusia 47 tahun dikatakan mencabul kehormatan dua lelaki berusia 30 dan 31 tahun di Marina Bay Sands pada 31 Mei.
Seorang lelaki berusia 47 tahun dikatakan mencabul kehormatan dua lelaki berusia 30 dan 31 tahun di Marina Bay Sands pada 31 Mei. - Foto ST

Lima lelaki, berumur antara 29 dengan 47 tahun, akan didakwa di mahkamah pada 16 Januari kerana disyaki terlibat dalam lima kes mencabul kehormatan berasingan.

Dalam satu kes, seorang lelaki berusia 29 tahun dikatakan mencabul seorang wanita berusia 27 tahun di stesen MRT City Hall pada 10 Ogos 2024 dan akan dikenakan satu pertuduhan.

Sementara itu, seorang lelaki berusia 47 tahun dikatakan mencabul kehormatan dua lelaki berusia 30 dan 31 tahun di Marina Bay Sands pada 31 Mei 2024, menurut satu kenyataan Pasukan Polis Singapura pada 15 Januari.

Dia akan dikenakan dua pertuduhan mencabul kehormatan, satu pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah serta satu pertuduhan menceroboh.

Pada 21 Januari 2024, seorang lelaki berusia 34 tahun pula dikatakan mencabul seorang wanita berusia 19 tahun di sebatang jalan penghubung di Buffalo Road.

Dia akan dikenakan satu pertuduhan mencabul kehormatan.

Dalam satu lagi kes, seorang lelaki berusia 42 tahun didakwa mencabul seorang wanita berusia 22 tahun di sebuah bar di sepanjang Raffles Link pada 24 Jun 2024.

Lelaki itu akan didakwa atas tiga pertuduhan mencabul kehormatan dan satu pertuduhan gangguan yang disengajakan.

Pada 18 Disember 2024 pula, seorang lelaki berusia 38 tahun dikatakan mencabul seorang wanita berusia 25 tahun di Suntec City. Dia akan dikenakan satu pertuduhan mencabul kehormatan.

Kesalahan mencabul kehormatan boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda, rotan, atau mana-mana gabungan hukuman tersebut.

Kesalahan gangguan dengan sengaja boleh membawa hukuman denda tidak melebihi $5,000 atau penjara sehingga enam bulan, atau kededuanya.

Kesalahan kekerasan jenayah boleh hukuman penjara sehingga tiga bulan, denda sehingga $1,500, atau kededuanya.

Kesalahan pencerobohan jenayah, boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga bulan, atau denda sehingga $1,500, atau kededuanya.

Polis akan terus bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak berkepentingan, seperti pusat hiburan awam, pengendali pengangkutan awam dan masyarakat untuk mencegah dan menghalang kes pencabulan.

Polis juga ingin menggesa orang ramai agar terus berwaspada dan melaporkan perkara itu kepada polis dengan segera, jika mereka menyaksikan kejadian cabul, atau menyedari seseorang telah menjadi mangsa cabul.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg