Lima rumah peralihan setempat telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MOU) pada Selasa untuk merintis usaha mencegah penularan Hepatitis C (HCV) dalam kalangan pesakit berisiko tinggi seperti bekas penagih dadah dan banduan yang baru dibebaskan.
Di bawah MOU ini, Rumah Peralihan HCSA Highpoint, bekerjasama dengan rakan kongsi termasuk Rumah Peralihan Pertapis, Rumah Peralihan Selarang Halfway, Teen Challenge Singapore dan The Helping Hand untuk menyediakan ujian HCV, pendidikan dan perkhidmatan penjagaan bagi peserta dari pelbagai rumah peralihan.
Langkah itu juga merupakan sebahagian daripada fasa kedua Program HCSA Highpoint Hepatitis C, iaitu Mendidik, Menguji dan Merawat (ETT) yang telah disokong oleh syarikat biofarmaseutikal Gilead Sciences sejak dilancarkan setahun lalu.
Acara MOU itu telah disaksikan oleh Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Dalam fasa pertama Program ETT Highpoint HCSA, seramai 214 peserta dari rumah peralihan tersebut telah mendaftarkan diri. Dalam kalangan peserta itu, sekitar 37 peratus diuji HCV positif, menurut satu kenyataan Perkhidmatan Masyarakat HCSA.
Sehingga Jun 2023, 29 peratus daripada mereka yang diuji HCV positif diberikan penjagaan – bermula dengan pemberian ubat secara oral dengan sokongan Program FriEnd-C Befriender HCSA, sistem sokongan bersepadu untuk membimbing pesakit yang HCV positif.
Usaha itu juga memastikan peserta tidak keluar daripada program itu separuh jalan agar mereka dapat melengkapkan rawatan yang ditetapkan.
Bekas pesalah dadah dianggap berisiko tinggi kerana jangkitan HCV adalah melalui darah dan cecair badan – perkara yang boleh berlaku melalui perkongsian jarum yang tercemar.
Jangkitan HCV biasanya tidak menunjukkan sebarang gejala sehingga beberapa tahun kemudian.
Jika tidak dirawat, HCV kronik boleh menjadi punca masalah kesihatan lain yang serius seperti kerosakan organ, barah dan kegagalan fungsi hati. Ubat yang diambil selama 12 minggu dapat merawat HCV.
“HCSA ingin membantu lebih 400 bekas banduan dalam fasa kedua dan saya yakin bahawa mereka dapat mencapainya,” kata Dr Faishal.
Beliau juga gembira kerana pesakit yang telah diuji positif dapat menerima rawatan susulan bersubsidi di Hospital Tan Tock Seng.
“Program ini program pertama yang memberi tumpuan menghalang dan menghapuskan jangkitan HCV dalam kalangan golongan yang berisiko tinggi.
“Mengembangkan program ETT kepada rumah peralihan yang lain mengesahkan komitmen kami untuk memberi kesedaran dan pendidikan mengenai HCV dalam kalangan bekas pesalah dadah.
“MOU itu merupakan langkah penting untuk meluaskan khidmat ini kepada lebih ramai orang agar dapat memberi manfaat kepada mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Masyarakat HCSA, Encik Kim Lang Khalil.
Dr Faishal turut melahirkan penghargaan kepada semua badan yang terlibat kerana membantu bekas banduan kembali kepada masyarakat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg