50 kes campak dikenal pasti di S’pura antara Jan 2021-Dis 2025

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

50 kes campak dikenal pasti di S’pura antara Jan 2021-Dis 2025

Feb 25, 2026 | 8:10 PM

50 kes campak dikenal pasti di S’pura antara Jan 2021-Dis 2025

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
campak, Ong Ye Kung, vaksin
Dalam jawapan bertulis kepada soalan di Parlimen, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata 50 kes campak yang telah disahkan di makmal telah dikenal pasti di Singapura antara 1 Januari 2021 dengan 31 Disember 2025. - Foto fail

Sebanyak 50 kes campak yang disahkan oleh makmal telah dikenal pasti di Singapura antara 1 Januari 2021 dengan 31 Disember 2025, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.

Daripada kes yang disahkan, tiga daripadanya melibatkan pelancong asing, manakala selebihnya individu yang menetap di Singapura.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan Parlimen yang diajukan Encik Yip Hon Weng (Yio Chu Kang) pada 24 Februari, Encik Ong berkata terdapat juga enam jangkitan baharu dalam kalangan individu yang telah divaksin daripada kes yang disahkan.

Encik Yip bertanya mengenai pecahan jangkitan mengikut penduduk dan kes baharu serta penilaian pemerintah terhadap penularan dalam masyarakat yang tidak dikesan akibat campak.

Encik Ong berkata suntikan vaksin dos kedua dalam kalangan kanak-kanak penduduk Singapura berusia dua tahun adalah 93 peratus dan 97 peratus bagi mereka dalam kalangan usia tujuh tahun.

Ini di samping kadar imuniti 99 peratus terhadap campak dalam kalangan rakyat dewasa di sini, tambah beliau.

“Ini melebihi had imuniti kelompok campak iaitu 95 peratus untuk mencegah penyebaran ke seluruh penduduk dan melindungi mereka yang tidak dapat menerima vaksin, seperti bayi di bawah usia 12 bulan,” ujarnya.

Beliau menambah, Singapura masih terdedah kepada kes campak yang dibawa masuk dari luar negara, disebabkan bilangan perjalanan ke negara yang mengalami penularan campak dan kelompok kecil ekoran individu yang tidak divaksin.

Sungguhpun demikian, beliau berkata tiada bukti berlakunya penularan campak dalam masyarakat buat masa ini.

Sehubungan itu, menjawab soalan berasingan yang diajukan Cik Joan Pereira (GRC Tanjong Pagar), Encik Ong berkata pemerintah telah meningkatkan pemantauan dan langkah pencegahan kesihatan awam.

Ia termasuk pengasingan kes, pengesanan kontak, pelaksanaan vaksin dan kuarantin untuk mencegah penyebaran campak dalam masyarakat.

Cik Pereira mengajukan soalan sama ada pemerintah telah mengambil langkah mencegah penyebaran campak dalam masyarakat dan mengesyorkan dos penggalak vaksin bagi campak, beguk dan rubela (MMR) bagi orang dewasa.

Menurut Encik Ong, Kementerian Kesihatan (MOH) telah melaksanakan langkah kesihatan awam yang dipertingkat sejak awal Februari.

Malah pada 6 Februari, Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) mengumumkan ia mempertingkatkan langkah berjaga-jaga berkuat kuasa serta-merta selepas bilangan kes campak yang dicatat pada Januari 2026 sahaja sudah mencapai bilangan yang sama dengan jumlah keseluruhan bagi 2024.

Ini setelah CDA mengesan 11 kes campak pada Januari 2026, bilangan yang sama dengan perangkaan kes campak keseluruhan bagi 2024.

Sejak pengumuman itu, Encik Ong berkata kesedaran awam tentang pengumuman adalah tinggi.

“Pengamal perubatan juga diingatkan agar terus berwaspada dan memaklumkan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) dengan segera mengenai kes campak yang disyaki,” kata beliau.

Beliau turut menekankan di bawah Jadual Imunisasi Dewasa Kebangsaan, golongan dewasa yang tidak divaksin, tidak divaksin sepenuhnya, atau tidak pernah dijangkiti atau kurang kekebalan terhadap campak disyorkan agar melengkapkan dua dos vaksin MMR.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg