Bayi 11 bulan kes campak pertama prasekolah S’pura sejak pencegahan dipertingkat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bayi 11 bulan kes campak pertama prasekolah S’pura sejak pencegahan dipertingkat

Feb 24, 2026 | 5:33 PM

Bayi 11 bulan kes campak pertama prasekolah S’pura sejak pencegahan dipertingkat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
penyakit campak, prasekolah, Singapura, bayi 11 bulan, Agensi Penyakit Berjangkit (CDA)
Bayi perempuan berusia 11 bulan itu menghadiri sebuah prasekolah di Singapura dan belum tiba masanya untuk menerima vaksin Campak, Beguk dan Rubela (MMR). - Foto AFP

Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan yang menghadiri prasekolah merupakan kes campak terbaru yang dilaporkan di Singapura.

Demikian menurut Agensi Penyakit Berjangkit (CDA).

Ini merupakan kes campak kelima melibatkan bayi berusia bawah 12 bulan pada 2026, dan kes pertama melibatkan kanak-kanak yang menghadiri prasekolah sejak CDA mempertingkat langkah membendung dan mengurus jangkitan campak dengan lebih berkesan.

CDA menyatakan ia telah menerima pemberitahuan mengenai kes campak yang disahkan itu pada 17 Februari.

Dengan kes terkini, jumlah kiraan di negara ini pada 2026 mencecah 15 kes setakat 23 Februari, sekali gus mengatasi 11 kes pada 2024.

Bayi perempuan berusia 11 bulan itu menghadiri sebuah prasekolah di Singapura dan belum tiba masanya untuk menerima vaksin Campak, Beguk dan Rubela (MMR), ujar CDA dalam kenyataannya pada 24 Februari.

Berdasarkan Jadual Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan semasa, bayi diberi dos pertama vaksin pada usia 12 bulan, dan dos kedua pada usia 15 bulan.

Bayi yang dijangkiti campak itu tidak mempunyai sejarah perjalanan atau kontak rapat yang diketahui baru-baru ini dan sedang pulih dengan baik.

Dia berada di sekolah sepanjang tempoh kala berjangkit dan ibu bapa kepada kanak-kanak yang mempunyai kontak rapat dengannya telah dimaklumkan pihak prasekolah.

Semua kontak rapat yang dikenal pasti – kecuali empat orang – telah menerima vaksin campak mengikut jadual atau sedang dalam proses melengkapkan vaksinasi mereka.

Tiada perintah kuarantin dikeluarkan terhadap mereka.

Empat lagi dikenakan kuarantin.

Selepas mereka divaksin atau diberi rawatan pencegahan, kuarantin itu dibatalkan, tambah CDA.

Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) memaklumkan ia sedar tentang kes tersebut dan sedang bekerjasama dengan CDA serta pengendali prasekolah tersebut bagi memastikan kesejahteraan kanak-kanak dan kakitangan mereka.

Ecda turut mengingatkan pengendali itu supaya memastikan pematuhan terhadap langkah pencegahan dan kawalan jangkitan, menurut kenyataan agensi itu.

Semua prasekolah dikehendaki mematuhi keperluan kesihatan dan kebersihan yang ditetapkan dalam Peraturan dan Kod Amalan Pusat Pembangunan Awal Kanak-Kanak.

Ia termasuk memastikan semua kanak-kanak berdaftar telah menerima vaksin campak mengikut Jadual Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan.

Bagi kakitangan prasekolah, pengendali mesti memastikan mereka mempunyai bukti sudah divaksin atau keimunan terhadap penyakit campak sebelum mula bekerja.

Mantan Presiden Persatuan Mikrobiologi dan Jangkitan Klinikal Asia Pasifik, Profesor Paul Tambyah, berkata apabila ramai bayi bawah satu tahun berkumpul di pusat jagaan, risiko dijangkiti campak adalah rendah tetapi bukan sifar, “kerana mungkin ada segelintir individu yang tidak ada keimunan terhadap campak”.

“Bayi-bayi ini terdedah kerana kekebalan yang diperolehi daripada ibu mereka akan merosot selepas usia enam bulan.

“Mujurlah, dengan kadar penularan campak yang rendah dalam masyarakat, risiko jangkitan dalam kalangan bayi ini kekal rendah,” katanya.

Sebagai sebahagian protokol pemantauan kesihatan berkala, prasekolah menjalankan pemeriksaan suhu dan kesihatan harian ke atas semua kanak-kanak, kakitangan dan pelawat semasa ketibaan.

Ecda akan terus bekerjasama rapat dengan prasekolah dan agensi berkaitan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak prasekolah serta kakitangan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg