S’pura tingkat pemantauan ekoran peningkatan kes sakit campak

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura tingkat pemantauan ekoran peningkatan kes sakit campak

Feb 6, 2026 | 6:20 PM

S’pura tingkat pemantauan ekoran peningkatan kes sakit campak

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
kesihatan, S’pura, tingkat pemantauan, sakit campak
Vaksin Campak, Beguk dan Rubella (MMR), salah satu vaksin di bawah Jadual Imunisasi Kanak-Kanak Nasional (NCIS). - Foto REUTERS

Singapura mempertingkatkan langkah berjaga-jaga berkuat kuasa serta-merta selepas bilangan kes campak yang dicatatkan pada Januari 2026 sahaja sudah mencapai bilangan yang sama dengan jumlah keseluruhan bagi 2024.

Ini termasuk pengasingan mandatori terhadap individu yang disahkan dijangkiti penyakit campak sehingga mereka tidak lagi dalam fasa berjangkit, kata Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) menerusi satu kenyataan pada 6 Februari.

CDA menambah bahawa Singapura telah mengesan 11 kes campak pada Januari 2026, bilangan yang sama dengan perangkaan kes campak keseluruhan bagi 2024.

Daripada bilangan itu, tiga melibatkan bayi di bawah usia 12 bulan yang belum layak mendapat vaksin Campak, Beguk dan Rubella (MMR), jelas CDA, sambil menambah bahawa kes-kes sedemikian mungkin merebak di peringkat tempatan.

Pengesanan kontak juga akan dijalankan bagi semua kes yang disahkan, dan kontak rapat perlu divaksin atau dikuarantin sehingga 21 hari, ujar agensi itu.

Dalam satu catatan Facebook pada 6 Februari, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata pemerintah sedang meneliti dan akan menyesuaikan langkah jika perlu untuk memastikan masyarakat dilindungi.

Beliau menambah, suntikan vaksin adalah langkah pencegahan terbaik terhadap penyakit campak kerana ia bukan sahaja melindungi individu, tetapi juga menyumbang kepada imuniti kelompok.

“Kami menyaksikan peningkatan kes campak di Singapura pada tahun ini (2026) – 11 kes setakat 31 Januari 2026 berbanding dua kes pada Januari 2025.

“Apa yang membimbangkan ialah kami mendapati tiga kes virus campak adalah serupa, tetapi pesakit tidak mempunyai kontak antara satu sama lain. Ini menunjukkan penularan dalam masyarakat secara senyap dan tanpa diketahui.

“Kami amat bimbang terhadap bayi di bawah usia 12 bulan, sebelum bayi ini harus mengambil suntikan vaksin MMR,” ujarnya.

Sebagai sebahagian daripada Jadual Imunisasi Kanak-Kanak Nasional (NCIS), semua kanak-kanak perlu mengambil dua dos suntikan vaksin MMR apabila usia mereka mencecah 12 bulan dan ke atas.

Sungguhpun begitu, Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon, berkata Singapura mempunyai tahap imuniti kelompok yang tinggi dalam kalangan penduduk.

Bercakap kepada media pada 6 Februari, beliau berkata ini sekali gus “membentuk pertahanan peribadi yang sangat penting terhadap jangkitan campak”.

Campak adalah salah satu penyakit yang paling mudah berjangkit. Virus ini tersebar melalui titisan udara dan sentuhan langsung dengan rembesan melalui hidung dan tekak.

Simptom campak termasuk demam, batuk, hidung berair, sakit tekak dan ruam.

Tiada rawatan khusus untuk campak, dan sebahagian besar yang menghidapnya pulih dalam tempoh dua hingga tiga minggu.

Dr Koh berkata walaupun dengan tahap imuniti kelompok tinggi, wujudnya sesetengah individu yang mengalami keadaan sistem imun defektif.

Oleh demikian, sistem imun golongan ini tidak dapat bertindak balas jika dijangkiti, manakala terdapat bayi yang terlalu muda untuk menerima suntikan vaksin.

Campak boleh menyebabkan komplikasi serius, termasuk pneumonia dan ensefalitis – radang otak terutamanya terhadap kanak-kanak di bawah usia lima tahun.

CDA sedang meningkatkan langkah kesihatan awamnya untuk melindungi golongan yang mudah terdedah ini, tambah beliau.

Dr Koh menggesa mereka yang belum menerima suntikan vaksin sepenuhnya, iaitu dua dos, untuk mendapatkannya kerana ia “tindakan terbaik untuk melindungi anggota keluarga anda”.

Untuk mendapatkan vaksin sepenuhnya terhadap campak, dua dos vaksin MMR diperlukan. Ia harus diambil selang sekurang-kurangnya 28 hari antara dos pertama dan kedua.

Daripada 11 kes campak yang dicatatkan, seorang adalah pelancong, manakala 10 lagi menetap di Singapura, kata CDA.

Tujuh kes melibatkan individu yang telah melancong ke luar negara baru-baru ini.

Agensi itu menambah, ujian makmal telah mengesahkan tiga kes dijangkiti oleh strain virus yang dikaitkan secara genetik, walaupun mereka tidak mempunyai kontak antara satu sama lain.

“Ini menunjukkan kemungkinan penularan tempatan yang tidak dikesan dalam masyarakat. Siasatan epidemiologi sedang dijalankan,” kata CDA.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg