Semangat kental, minda yang kuat dan tekad berdikari adalah tiga perkara utama untuk kekal bertapak dalam perniagaan.
Inilah yang dikongsi oleh Cik Ellyana Roslani, 42 tahun, pemilik perniagaan makanan manisan Krumbz N Kraves yang memulakan perniagaannya pada 2013.
Malangnya, ia terpaksa ditutup selama tiga bulan kerana peraturan ketat pada 2020 disebabkan pandemik Covid-19.
Ia turut membantutkan rancangan Cik Ellyana yang sudah bersiap membuka gerai di acara ekspo musiman bagi meningkatkan lagi perniagaannya menjelang Ramadan tahun itu.
Akibatnya, Cik Ellyana kerugian sekitar $70,000 disebabkan bahan keperluan yang sudah dibeli terlebih dahulu, dan beberapa bil penyelenggaraan, serta gaji pekerja yang perlu dilangsai.
Namun, semangat keusahawanan dan sikap tidak putus asa ibu empat anak itu pada perniagaannya tidak pernah pudar.
Cik Ellyana orak langkah menyusun semula strategi Krumbz N Kraves, yang dikenali orang ramai dengan produk makanan ‘sotong Argentina’-nya yang berharga $10 setiap satu.
Beliau menjual produknya secara dalam talian atau menerusi e-dagang, dan ini memberi beliau semangat untuk terus melangkah ke hadapan bagi menyambung perniagaannya.
Cik Ellyana akan berkongsi pengalaman pahit manis yang dilaluinya dalam edisi keempat DewiConnect, satu forum niaga tahunan anjuran cabang wanita Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Dewi@SMCCI.
Acara itu akan diadakan pada 30 Ogos 2024, dari 2 petang hingga 6 petang di Red Velvet Ballroom, Aras 5, Hotel Village. Tiket berharga $65 ke atas dan boleh didapati di http://bit.ly/45byooc.
Forum itu akan turut disertai sekumpulan usahawan termasuk selebriti Malaysia, Dato’ Khadijah Ibrahim, yang bakal berkongsi perjalanan keusahawanannya, pencapaian serta cabaran yang dilalui.
Cik Yati Kairi dari Ascensus Institute; Cik Norah Zhang dari Lab Inc; Cik Zarifah Rasid, pengasas The Fluffy Chef; dan Cik Hilwah Brown, seorang pengasas dari Hilwah Maid Agency, akan turut berkongsi kisah peribadi perjuangan dan kemunculan semula mereka dalam dunia perniagaan sebagai inspirasi kepada semua.
Peserta juga berpeluang menjalin rangkaian dengan usahawan wanita lain, di mana peserta dapat melibatkan diri dalam sesi menjalin rangkaian menerusi meja bundar.
Segmen ini akan menyediakan platform bagi peserta mengembangkan rangkaian profesional mereka, dengan hadiah-hadiah menarik untuk dimenangi.
Buat julung-julung kalinya juga, acara DewiConnect dan DewiFiesta bakal digabungkan dan akan menampilkan 15 syarikat kecil dan sederhana (SME) serta perniagaan dari rumah (HBB) dalam sektor runcit, makan dan minuman (F&B) dan konsultasi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg