Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 2,000 flat BTO dengan masa tunggu lebih singkat dilancar pada Okt

Desmond: Tiga projek di Bukit Batok dan Sengkang disiap awal sebagai komitmen pemerintah terhadap keprihatinan keluarga muda
Oct 6, 2024 | 3:48 PM
Lebih 2,000 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan dilancarkan pada Oktober, merentasi tiga projek di kawasan Bukit Batok dan Sengkang.
Lebih 2,000 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan dilancarkan pada Oktober, merentasi tiga projek di kawasan Bukit Batok dan Sengkang. - Foto HDB

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan melancarkan sebanyak 2,085 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dengan masa menunggu lebih singkat menerusi tiga projek di kawasan kejiranan Bukit Batok dan Sengkang pada Oktober 2024.

Khususnya, 689 flat di West BrickVille@Bukit Batok akan siap dalam tempoh dua tahun, menjadikannya “salah satu projek masa menunggu paling singkat” yang pernah dilancarkan, kata HDB menerusi satu kenyataan pada 6 Oktober.

Dengan langkah yang diumumkan HDB ini, keseluruhan jumlah flat dengan masa menunggu lebih singkat pada 2024 meningkat kepada 2,876 unit.

Dalam satu hantaran Facebook pada 6 Oktober, Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, berkata pemerintah amat peka tentang keprihatinan keluarga muda, justeru telah memberi keutamaan yang lebih kepada pasangan muda dan keluarga yang mempunyai anak kecil untuk mendapatkan flat lebih cepat.

“Bagi terus menyokong kumpulan keluarga muda ini, kami komited melancarkan antara 2,000 hingga 3,000 flat dengan masa menunggu lebih singkat, iaitu kurang daripada tiga tahun, setiap tahun menjelang 2025.

“Saya gembira untuk berkongsi bahawa kami telah memenuhi komitmen ini setahun lebih awal daripada jadual, dengan lebih 2,000 flat dengan masa menunggu lebih singkat bakal dilancarkan pada Oktober di Bukit Batok dan Sengkang,” jelas Encik Lee.

Hampir 70 peratus flat dengan masa menunggu lebih singkat ini dilancarkan semasa jualan flat BTO di Bukit Batok dan Sengkang pada Oktober dan ia terdiri daripada flat empat bilik dan lima bilik, yang merupakan jenis flat paling popular dalam kalangan keluarga.

Selain flat BTO di West BrickVille@Bukit Batok yang akan siap dalam tempoh dua tahun, flat BTO Fernvale Sails di Sengkang pula akan mempunyai masa menunggu selama dua tahun tiga bulan.

Flat BTO Fernvale Oasis pula akan mempunyai masa menunggu selama dua tahun sembilan bulan, jelas HDB.

“Dengan pasaran BTO yang lebih stabil, di mana kadar permohonan dan masa menunggu kedua-duanya telah menurun sejak dua tahun lalu (2022), kami kini mampu menawarkan hampir 3,000 flat dengan masa menunggu lebih singkat pada 2024.

“Ini kerana HDB bekerja rapat dengan pelbagai agensi pemerintah untuk menyediakan projek lebih awal, dan memulakan kerja-kerja pembinaan sekitar beberapa bulan, atau lebih setahun, sebelum pelancaran projek,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HDB, Encik Tan Meng Dui.

Encik Tan berkata bekalan flat baru pada 2024 yang mempunyai masa menunggu kurang daripada tiga tahun hampir empat kali ganda berbanding 2023, dengan HDB bakal menyediakan lebih banyak pilihan untuk pembeli rumah dengan keperluan perumahan lebih mendesak.

HDB pula berkata ia akan terus menentukur semula program pembinaannya dari semasa ke semasa supaya flat BTO dengan masa menunggu kurang daripada tiga tahun akan membentuk sebahagian besar bekalan flat baru.

Flat di West BrickVille@Bukit Batok, Fernvale Sails dan Fernvale Oasis ini adalah antara 8,500 flat yang akan ditawarkan dalam jualan flat HDB pada Oktober.

Projek lain yang ditawarkan termasuk di kawasan Ang Mo Kio, Bedok, Geylang, Jurong West, Kallang/Whampoa, Pasir Ris dan Woodlands.

HDB berkata pemohon flat mesti mempunyai Surat Kelayakan Flat HDB (HFE) yang sah sebelum mereka boleh memohon flat baru.

Permohonan HFE mengambil masa kira-kira sebulan untuk diproses selepas HDB menerima semua dokumen yang diperlukan.

Masa pemprosesan pula mungkin mengambil masa lebih lama semasa tempoh sibuk seperti semasa pelancaran jualan flat BTO, kata HDB.

West BrickVille@Bukit Batok akan siap dalam tempoh dua tahun, dan ini merupakan salah satu projek masa menunggu paling singkat yang pernah dilancarkan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
West BrickVille@Bukit Batok akan siap dalam tempoh dua tahun, dan ini merupakan salah satu projek masa menunggu paling singkat yang pernah dilancarkan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB). - Foto HDB

West BrickVille @ Bukit Batok terletak di antara Bukit Batok Road dengan Bukit Batok West Avenue 8. Ia terdiri daripada 689 flat fleksi dua bilik, tiga, empat, lima dan 3-Gen (Tiga Generasi) di lima blok dan mempunyai masa menunggu paling singkat selama dua tahun.

Kemudahan berdekatan termasuk pusat beli-belah Le Quest dan Penghubung Taman Bukit Batok yang menghubungkannya terus ke Kelab Masyarakat Bukit Batok. Stesen MRT yang akan datang JE2 di Laluan Jurong Region juga berada dalam jarak berjalan kaki.

Fernvale Sails di Sengkang akan mempunyai masa menunggu selama dua tahun tiga bulan.
Fernvale Sails di Sengkang akan mempunyai masa menunggu selama dua tahun tiga bulan. - Foto HDB

Fernvale Sails ialah projek 545 unit yang terletak di antara Fernvale Link dengan Fernvale Close dan terdiri daripada empat blok yang menawarkan flat fleksi dua bilik, tiga, empat, dan lima bilik, setinggi 23 tingkat.

Ia terletak berhampiran Seletar Mall, Kelab Masyarakat Fernvale dan stesen LRT Layar, dan juga akan menyediakan kemudahan seperti pasar raya, gerai makanan dan minuman (F&B), prasekolah, pusat rangkaian penduduk dan pusat penuaan aktif.

Fernvale Oasis di Sengkang akan mempunyai masa menunggu selama dua tahun sembilan bulan.
Fernvale Oasis di Sengkang akan mempunyai masa menunggu selama dua tahun sembilan bulan. - Foto HDB

Fernvale Oasis terletak di antara Fernvale Road dengan Fernvale Street, dan terdiri daripada 851 unit flat fleksi dua bilik, empat dan lima bilik. Dua daripada lima blok kediaman masing-masing akan menempatkan 23 flat sewa.

Projek tersebut meliputi kemudahan seperti prasekolah, pusat jagaan warga emas serta pusat rangkaian penduduk. Penduduk juga akan meraih akses mudah ke stesen LRT Thanggam serta perkhidmatan bas sepanjang Fernvale Street.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg