Sebanyak 8,573 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) akan ditawarkan di bawah klasifikasi flat baru di sembilan bandar – Ang Mo Kio, Bedok, Bukit Batok, Jurong West, Geylang, Kallang/Whampoa, Pasir Ris, Sengkang, dan Woodlands – pada Oktober 2024.
Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan melancarkan tujuh projek Standard, tujuh projek Plus, dan satu projek Prime di bawah rangka kerja klasifikasi flat baru itu.
Rangka kerja baru itu menggantikan sistem klasifikasi flat semasa, iaitu estet matang dan estet tidak matang.
Klasifikasi flat HDB di bawah kategori Standard, Plus dan Prime adalah berdasarkan jaraknya dengan pusat bandar, perhubungan pengangkutan, dan ketersediaan kemudahan seperti perkhidmatan sosial dan komersial, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.
Mengulas tentang peralihan kepada rangka kerja baru itu, Encik Lee berkata langkah tersebut diambil sedang perbezaan antara estet matang dan estet tidak matang menjadi kabur, apatah lagi dengan pengangkutan dan kemudahan bertambah baik secara keseluruhan di semua bandar.
“Kami juga membina flat baru di lokasi sangat menarik dan flat di lokasi sedemikian secara semula jadi mempunyai nilai pasaran lebih tinggi.
“Jika HDB menetapkan harga flat ini lebih tinggi, walaupun dengan diskaun yang telah kami berikan sekarang – flat-flat ini mungkin tetap di luar jangkauan bagi banyak keluarga,” kata Enck Lee semasa berucap di pelancaran pameran ‘MyNiceHome’ di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) pada 9 Oktober.
Beliau berkata bahawa syarat harus diletakkan dalam pemberian subsidi untuk memastikan ada peluang adil bagi pembeli memiliki flat sedemikian.
“... tanpa syarat untuk mengimbangi subsidi tambahan ini, pemilik flat Plus dan Prime akan dapat meraih keuntungan daripada subsidi tambahan dan menerima durian runtuh apabila mereka menjual flat mereka di pasaran jualan semula, jika tiada sekatan dikenakan,” ujar beliau.
“Ini akan memburukkan lagi ‘kesan loteri’ dan tidak adil kepada mereka yang tidak berpeluang membeli flat ini,” katanya.
Menurut HDB, jumlah projek yang melibatkan 8,573 flat yang akan ditawarkan di sembilan bandar itu adalah yang terbanyak dalam satu pelancaran BTO sejauh ini.
Daripada jumlah itu, sejumlah 4,988 unit akan ditawarkan di bawah klasifikasi flat HDB Standard, yang tidak akan mempunyai klausa pemulihan subsidi apabila ia dijual dan akan disertakan dengan Tempoh Penginapan Minimum (MOP) lima tahun.
Sejumlah 3,273 unit akan ditawarkan di bawah klasifikasi flat HDB Plus di bandar seperti Ang Mo Kio, Bedok, Geylang, dan Kallang/Whampoa.
Bagi klasifikasi flat HDB Prime, sejumlah 312 unit akan ditawarkan di bandar Kallang/Whampoa daripada satu projek sahaja, iaitu Crawford Heights.
Kededua klasifikasi itu, HDB Plus dan HDB Prime, yang terletak lebih berdekatan dengan kemudahan seperti stesen MRT dan pusat bandar, akan ditawarkan dengan syarat jualan semula lebih ketat, seperti MOP 10 tahun dan pemulangan subsidi.
Menyifatkan projek Crawford Heights sebagai “satu peringkat lebih tinggi”, Encik Lee merujuk kepada jarak dekatnya dengan stesen MRT Lavender, Sungai Rochor dan Kallang Riverside Park, serta kawasan Kallang Alive yang akan datang, yang menampilkan stadium tertutup baru serta kemudahan latihan dan sukan.
Dalam pada itu, Encik Lee juga berkata rangka kerja baru itu memastikan pemilikan rumah terus dimampui, bandar perumahan mempunyai campuran sosial yang baik dan sistem kekal adil.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg