Antara 2 Januari dengan akhir Mei, sekitar 5,300 pengguna pengangkutan awam di timur laut Singapura mengubah waktu perjalanan mereka sekurang-kurangnya sekali untuk mengelak tempoh kesibukan waktu pagi.
Daripada jumlah itu, 30 peratus memilih menggunakan MRT Laluan Timur Laut (NEL) selepas waktu sibuk, iaitu antara 8.45 pagi dengan 9.45 pagi, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 2 Julai.
Sebanyak 27 peratus pula memilih untuk menaiki NEL sebelum 7.15 pagi untuk mengelak waktu sibuk sebelah pagi, dan 24 peratus menggunakan laluan itu pada kededua waktu – sebelum dan selepas waktu sibuk, lapor The Straits Times (ST).
Selain itu, tujuh peratus penumpang beralih menaiki bas sebagai pengangkutan gantian, manakala 12 peratus pula menggunakan bas atau NEL pada waktu tidak sibuk, menurut LTA.
Melalui program Inisiatif Perjalanan Bijak (TSJ) oleh LTA, penumpang boleh mendapat mata ganjaran untuk diskaun tambang jika mereka imbas kad tambang di stesen MRT terpilih sebelum atau selepas waktu paling sesak (antara 7.15 pagi dengan 8.45 pagi).
Program ini bertujuan menggalakkan penumpang mengelak waktu puncak di laluan MRT NEL dengan tawaran ganjaran diskaun hingga 80 peratus daripada tambang perjalanan.
LTA juga pada 1 Julai telah menambah stesen MRT Kovan ke dalam senarai stesen yang menyertai program ini, yang termasuk stesen Punggol Coast, Punggol, Sengkang, Buangkok, Hougang serta semua stesen LRT Punggol dan Sengkang.
Peluasan program TSJ ini “membantu kami mengoptimumkan kapasiti pengangkutan awam dengan mengurangkan sesak pada waktu puncak pagi,” kata LTA.
“Kami berharap dapat memberi ganjaran kepada lebih ramai penduduk Kovan yang perlu ke pusat bandar pada waktu sibuk setiap pagi, supaya beralih kepada perkhidmatan bas City Direct 676, yang akan membawa mereka terus ke Tanjong Pagar dan Promenade,” tambah pihak berkuasa itu.
Di bawah program ini, pengguna pengangkutan awam juga digalakkan menggunakan perkhidmatan bas ekspres waktu sibuk yang menawarkan mata ganjaran serupa, sebagai gantian kepada perjalanan tren di NEL.
Terdapat 12 perkhidmatan bas sebegini, termasuk perkhidmatan City Direct 675, 676, 677 dan 678.
Untuk layak menyertai program TSJ ini, penumpang mesti imbas kad tambang di stesen terpilih antara 7.15 pagi dengan 8.45 pagi, sekurang-kurangnya enam hari dalam tempoh 30 hari.
Mereka perlu mendaftar akaun SimplyGo, di mana setiap mata ganjaran bernilai satu sen, dan mata ganjara boleh ditebus dalam blok 500 mata (bersamaan $5), melalui aplikasi itu.
Perjalanan ‘tap in’ sebelum 7.15 pagi atau selepas 8.45 pagi hingga 9.45 pagi akan memperoleh mata ganjaran sehingga 80 peratus tambang perjalanan.
Bagi perjalanan antara 8.45 dengan 8.59 pagi, atau 9.31 hingga 9.45 pagi, mata ganjaran bernilai sehingga 40 peratus tambang.
Program ini bermula pada 2020 sebagai percubaan untuk penduduk yang menggunakan stesen MRT Punggol, Sengkang, Buangkok dan laluan LRT Sengkang-Punggol ke arah timur Singapura.
Fokus awalnya menggalakkan penumpang beralih dari MRT ke bas semasa waktu puncak, dan pada 2023 diperluas dengan lebih banyak perkhidmatan bas.
Pada 2 Januari 2025, lebih banyak perkhidmatan bas dan perjalanan tren dimasukkan dalam skim mata ganjaran ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg