Dalam lima tahun akan datang, orang ramai bakal melihat lebih banyak kenderaan tanpa pemandu di jalan raya Singapura.
Ini akan berlaku jika rancangan negara ini untuk memperkenalkan kenderaan autonomi (AV) “secara agak meluas” menjadi nyata.
Pelan itu dibentangkan Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, dalam temu bualnya dengan media baru-baru ini, beberapa minggu selepas menggalas tugas baru itu.
Menurut Encik Siow, kehadiran AV akan mengubah dinamik landskap memandu di Singapura.
Rancangan itu juga sejajar dengan wawasan Singapura menjadi masyarakat ‘car-lite’ atau kurang bergantung pada kereta.
Hari ini, kebanyakan isi rumah tidak memiliki kereta, meskipun jumlah yang memiliki kenderaan itu telah meningkat daripada 459,000 pada 2012 kepada 472,000 pada 2022.
Namun, peratusan isi rumah yang memiliki kereta telah merosot, daripada sekitar 40 peratus pada 2012 kepada sekitar sepertiga pada 2022.
Ini juga kerana bilangan isi rumah sudah meningkat daripada 1.15 juta pada 2012 kepada 1.4 juta pada 2022.
Hakikatnya, kebanyakan isi rumah masih tidak memiliki kereta.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan ramai yang rata-ratanya semakin melupakan idea menjadi pemilik kereta di Singapura.
Meskipun mempunyai lesen memandu, saya sendiri mendapatinya mudah bergerak ke sana sini dengan menaiki kereta sewa privet seperti Grab dan Tada, serta pengangkutan awam, termasuk bas dan MRT.
Sedang kos pemilikan kereta merupakan faktor utama, terdapat pelbagai aspek lain yang menjadi pertimbangan sebelum membeli kereta.
Pertama, adalah ketersediaan pengangkutan awam, termasuk rangkaian bas dan MRT yang meliputi lebih banyak kawasan.
Pada 2023, Tinjauan Kepuasan Pelanggan Pengangkutan Awam mendapati sekitar 93 peratus pengguna berpuas hati dengan pengangkutan awam.
Khususnya, pengguna memberi markah baik bagi faktor seperti keandalan dan masa perjalanan, tetapi mendapati masa menunggu bas boleh diperbaiki lagi.
Faktor kedua, adalah kemudahan mendapatkan kereta sewa privet, dengan adanya pelbagai penyedia khidmat seperti Grab, Gojek dan Tada, selain teksi.
Bagi ramai pengguna, kos menaiki kereta sewa privet atau teksi secara kerap adalah lebih murah secara keseluruhannya berbanding memiliki kereta.
Ini mengambil kira kos tambahan memiliki kereta seperti insurans, penyelenggaraan, selain Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE).
Dengan menaiki kereta sewa privet, pengguna juga dapat menikmati perjalanan lebih selesa tanpa perlu bimbang hendak mencari tempat meletak kereta.
Tentunya ia menuntut pengguna merancang perjalanan lebih awal dengan mengambil kira masa menunggu bagi mendapatkan kereta sewa, atau mengelak waktu sibuk dan melihat lonjakan harga.
Bagi mereka yang memerlukan kereta untuk tempoh waktu singkat, terdapat juga penyedia khidmat perkongsian kereta seperti GetGo, BlueSG, and Tribeca, atau DriveLah yang menghubungkan penyewa dengan pemilik kereta.
Tidak dinafikan masih ramai juga yang melihat kereta sebagai keperluan, terutama golongan keluarga atau mereka yang perlu ulang-alik ke tempat lebih jauh.
Tetapi dengan adanya lebih banyak kenderaan tanpa pemandu, pilihan pengangkutan awam mungkin menjadi lebih menarik.
Kenderaan seperti itu akan mengatasi masalah kekurangan tenaga untuk mendapatkan pemandu, dan membolehkan pihak berkuasa menambah kapasiti khidmat pengangkutan apabila diperlukan.
Encik Siow menyatakan tentang rancangan untuk memperkenalkan khidmat bas mini tanpa pemandu dalam estet Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) untuk membawa penduduk ke nod pengangkutan, atau poliklinik dan kelab masyarakat.
Kenderaan sedemikian akan mengurangkan masa perjalanan dari rumah ke stesen MRT atau pusat tukaran bas, atau sebaliknya.
Ini disebutkan sebagai perjalanan ‘first and last mile’ – yang Encik Siow akur buat masa ini kurang berkesan.
Inilah yang boleh menyebabkan masa perjalanan pengangkutan awam dua hingga tiga kali lebih lama berbanding perjalanan kereta privet.
Untuk meyakinkan lebih ramai lagi untuk menggunakan pengangkutan awam, apa yang perlu diatasi bukan sahaja perjalanan ‘first and last mile’ dalam estet perumahan, bahkan keselesaan dan kemudahan seluruh perjalanan dari satu tempat ke satu tempat atau ‘point to point’ di seluruh Singapura.
Singapura telah memulakan ujian AV di jalan raya awam sejak 2015, tetapi ini dilakukan di tapak terkawal seperti kampus tertutup atau perkhidmatan gelung seperti di Resorts World Sentosa.
Di luar negara, pengangkutan tanpa pemandu seperti Robotaxi sudah dilaksana di bandar seperti San Francisco di Amerika Syarikat dan Guangzhou, China.
Ada juga seperti syarikat WeRide di China yang telah mendapat kelulusan untuk mengendali kenderaan tanpa pemandu, termasuk di lebuh raya.
Dengan teknologi yang kian canggih dan terbukti selamat, lebih ramai pengguna akan rasa terjamin dengan penggunaan kenderaan tanpa pemandu secara lebih meluas.
Apatah lagi jika faktor seperti penjimatan masa dan wang menjadikan pilihan pengangkutan awam menarik sekali.
Barulah lebih ramai akan ‘tergerak’ untuk tidak membeli kereta sendiri, atau sekurang-kurangnya mereka akan fikir dua tiga kali.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg