59 pemandu dikesan lakukan kesalahan trafik
Hampir 60 pemandu dikesan di Pusat Pemeriksaan Woodlands semasa tempoh perayaan baru-baru ini, kerana memandu secara berbahaya dan melanggar pelbagai peraturan jalan raya.
Ini termasuk memotong jalan dan melintasi garisan putih berkembar.
Mereka ditangkap antara 13 dengan 17 Februari semasa operasi penguatkuasaan yang dipertingkatkan di pusat pemeriksaan tersebut, menurut polis dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada 20 Februari.
Sekurang-kurangnya 59 pemandu didapati melakukan kesalahan termasuk memandu melawan arus lalu lintas, melintasi garisan putih berkembar dan memotong jalan.
Atas pelanggaran trafik tersebut, seramai 48 pemandu itu dipaksa berpatah balik dan dikehendaki beratur semula, manakala 31 daripada mereka dirujuk kepada polis trafik bagi tindakan lanjut.
Sekurang-kurangnya 11 kenderaan berdaftar asing juga dilarang memasuki Singapura.
Penguatkuasaan itu bertujuan mencegah pemandu daripada melanggar peraturan jalan raya dan memotong jalan di pusat pemeriksaan, semasa tempoh kesesakan lalu lintas yang dijangkakan bagi kenderaan yang melalui imigresen.
Masa menunggu yang lebih lama juga disebabkan oleh pegawai ICA yang mempertingkatkan pemeriksaan terhadap penyeludupan barangan terlarang termasuk vape, mercun dan bak kwa, atau hirisan daging babi panggang, yang merupakan snek popular semasa perjumpaan Tahun Baru Cina.
Pihak berkuasa berkata mereka tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemandu yang menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya lain, atau mereka yang tidak mematuhi arahan pegawai.
Pemandu digalakkan untuk mengekalkan disiplin lorong semasa melintasi pusat pemeriksaan darat, kata polis dan ICA.

