Trafik sesak dijangka di pusat pemeriksaan Woodlands, Tuas semasa Tahun Baru Cina
Trafik sesak dijangka di pusat pemeriksaan Woodlands, Tuas semasa Tahun Baru Cina
Pengembara yang merancang ke Malaysia melalui pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas diramal berdepan kesesakan teruk dari 13 hingga 23 Februari, menjelang sambutan Tahun Baru Cina pada 17 Februari.
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam kenyataan bertarikh 6 Februari menasihatkan pelawat agar bersedia menghadapi masa menunggu yang lebih panjang untuk melepasi imigresen. Semakan situasi trafik di pusat pemeriksaan sebelum memulakan perjalanan amat digalakkan.
Masa menunggu yang bertambah ini adalah kesan daripada pemeriksaan lebih teliti terhadap penyeludupan barangan terlarang, seperti vape, mercun, dan bak kwa, jelas ICA.
Pihak berkuasa turut menggalakkan pelawat untuk menggunakan kod QR yang dijana melalui aplikasi mudah alih MyICA bagi melancarkan proses imigresen tanpa perlu menggunakan pasport.
Namun, pasport masih wajib dibawa semasa melancong ke luar negara.
Untuk mengelakkan kesesakan pada tempoh puncak ini, ICA menyarankan agar pengembara yang perlu melakukan perjalanan memanfaatkan perkhidmatan bas rentas sempadan.
Dalam kenyataan itu, ICA berkata kesesakan lalu lintas yang berlaku sepanjang tempoh cuti sekolah hujung tahun, dari 21 November 2025 hingga 1 Januari 2026. Keadaan ini memaksa sesetengah pemandu menunggu hingga tiga jam untuk melepasi imigresen pada waktu puncak
ICA menambah, lebih 22 juta pelawat melalui pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas sepanjang tempoh tersebut.
Bilangan pelawat mencapai rekod tertinggi pada 19 Disember 2025, dengan lebih 588,000 orang melepasi imigresen melalui pusat pemeriksaan darat pada hari itu.
ICA menegaskan bahawa memintas barisan kenderaan hanya akan memburukkan kesesakan dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
Mereka yang langgar peraturan akan diarah kembali ke hujung barisan.
Pihak berkuasa tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pelawat yang tidak mematuhi arahan pegawai atau melakukan kesalahan di pusat pemeriksaan.
ICA turut menasihati pelawat memastikan pasport mereka masih sah sekurang-kurangnya enam bulan.
Pelawat jangka pendek mesti mengemukakan Kad Ketibaan Singapura serta pengisytiharan kesihatan mereka melalui aplikasi mudah alih MyICA dalam tempoh tiga hari sebelum mereka tiba di negara ini.
Penduduk Tetap (PR) Singapura yang telah memperbaharui pasport perlu memastikan permit kemasukan semula mereka telah dipindahkan ke dalam pasport baru.
Pemegang pas jangka panjang pula mesti memberitahu ICA atau Kementerian Tenaga Manusia (MOM) tentang sebarang perubahan maklumat dalam pasport mereka sebelum memasuki semula Singapura.
ICA mengingatkan semua pelawat agar tidak membawa masuk barangan terlarang atau terkawal.
Pemandu kenderaan berdaftar asing mesti memastikan Permit Masuk Kenderaan (VEP) mereka adalah sah, tambah ICA.
Mereka yang tidak memiliki kad Autopass yang sah, e-mel kelulusan VEP daripada LTA, atau insurans sah akan disuruh pulang.

