Operasi kuat kuasa Pusat Pemeriksaan Woodlands dipertingkat 13-17 Feb
Operasi kuat kuasa Pusat Pemeriksaan Woodlands dipertingkat 13-17 Feb
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dan Polis Trafik (TP) akan mempertingkatkan operasi penguatkuasaan dari 13 hingga 17 Februari terhadap pemandu yang melanggar undang-undang di Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Operasi itu bertujuan menghalang dan mengesan kesalahan trafik seperti memandu laju dan memotong barisan di pusat pemeriksaan itu, ujar ICA dalam hantaran di Facebook pada 12 Februari.
Pemandu kenderaan berdaftar asing yang ingkar boleh dikenakan larangan masuk, manakala pemandu berdaftar di Singapura yang ingkar boleh dirujuk kepada TP untuk siasatan lanjut dan dikenakan tindakan.
Pemandu yang didapati memotong barisan akan diarahkan kembali beratur.
Pihak berkuasa tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pelawat yang melakukan kesalahan atau gagal mematuhi arahan pegawai di pusat pemeriksaan, tambah ICA.
Pengumuman itu dibuat menjelang Tahun Baru Cina pada 17 Februari dan sambutan Ramadan yang bermula pada 19 Februari.
ICA berkata kegagalan mematuhi laluan yang betul dan peraturan trafik boleh menyebabkan kesesakan teruk serta menjejas keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Kami memohon kesabaran dan kerjasama pengguna agar mematuhi arahan pegawai serta peraturan trafik, dan mengikut lorong yang ditetapkan ketika menggunakan pusat pemeriksaan darat demi keselamatan dan kelancaran semua,” katanya.
Dalam nasihat yang dikeluarkan terdahulu pada 6 Februari, ICA memaklumkan trafik dijangka sesak di Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas dari 13 hingga 23 Februari sepanjang tempoh Tahun Baru Cina.
Pada Januari lalu, lapan kes kesalahan trafik dikesan di Pusat Pemeriksaan Woodlands dan pesalah telah dikenakan tindakan.

