Seramai 59 penduduk Siglap mengayuh basikal sejauh 59 kilometer, dengan tiga daripada mereka berumur 59 tahun, termasuk Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman.
Kegiatan yang berlangsung pada 9 Ogos lalu itu merupakan sebahagian daripada sambutan ulang tahun negara yang ke-59.
Divisyen Siglap GRC East Coast mengadakan acara sambutan Hari Kebangsaan di Taman Pantai Changi itu dengan dihadiri lebih 1,000 penduduk yang sama-sama melakukan senaman sambil menikmati persembahan nyanyian dan tarian.
Kemuncak sambutan itu merupakan kegiatan berbasikal melibatkan sekumpulan 59 penunggang yang bertolak dari Taman Pantai Changi pada 5:09 pagi, menunggang di sepanjang pantai sehingga ke Taman East Coast, melalui Gardens by the Bay dan kemudian kembali ke tapak permulaan – meliputi jarak sejauh 59 kilometer.
Dr Maliki berkata bahawa acara itu memberi peluang kepada semua peserta menikmati pemandangan sepanjang perjalanan sambil menunggang, dan pada masa yang sama menunjukkan semangat Singapura, menurut laporan akhbar Lianhe Zaobao.
“Kegiatan Hari Kebangsaan tahun ini menumpukan kepada satu isu yang menjadi keprihatinan – kededua bagi masyarakat serta bagi negara.
“Baru-baru ini East Coast (GRC) menganjurkan rancangan East Coast Lebih Sihat, yang memberi tumpuan kepada pencegahan isu kesihatan dalam kalangan masyarakat, dengan tumpuan kepada kesihatan mental.
“Memang menjadi hasrat kami untuk menempatkan penjagaan kesihatan sebagai keutamaan memandangkan cabaran masyarakat yang menua di sini, selain penyakit kronik yang bertambah,” katanya menurut laporan Tamil Murasu.
Di acara itu, antara peserta yang mengambil bahagian untuk berbasikal ialah Encik Micheal Chin yang berusia 75 tahun, yang berjaya menyelesaikan keseluruhan jarak berbasikal itu.
Menurutnya beliau meminati sukan sejak zaman sekolah lagi dan telah menyertai Jelajah Berbasikal Pulau Singapura sejauh 123 kilometer berulang kali.
Selain itu seramai 590 penduduk bekerjasama untuk mencipta lukisan batu dan rantai kunci yang bertemakan Hari Kebangsaan.
Selaras dengan inisiatif SG Lebih Sihat dan program “Pantai Timur Sihat” yang baru dilancarkan, aktiviti Hari Kebangsaan tahun ini turut menerapkan gaya hidup sihat.
Kelab Komuniti Siglap telah melancarkan Senaman Siglap Zesty yang disesuaikan untuk penduduk bagi menggalak semua orang kekal aktif.
Dr Maliki berkata: “Siglap mempunyai ramai warga emas, jadi senaman ini boleh dilakukan walaupun dalam keadaan duduk, supaya penduduk yang berbeza umur dapat bersenam bersama.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg