Topik diikuti
Pergi ke BHku6 didakwa kerana sertai perhimpunan haram di Penjara Changi, Mahkamah Negara
6 didakwa kerana sertai perhimpunan haram di Penjara Changi, Mahkamah Negara
Enam individu dibawa ke mahkamah pada 28 September dan didakwa atas penglibatan mereka dalam perhimpunan dan perarakan awam tanpa kebenaran.
Sebelum ini, sebilangan daripada mereka pernah disiasat atas kesalahan serupa.
Enam individu itu ialah Howe Wen Khong Rocky, 31 tahun; Ten Leu Jiun Jeanne-Marie, 56 tahun; Annamalai Kokila Parvathi, 38 tahun; Lim Kay Siu, 70 tahun; Winifred Neo Swee Lin, 63 tahun; dan Han Li Ying Kirsten, 37 tahun.
Howe menghadapi empat tuduhan kerana menyertai perhimpunan awam tanpa permit.
Dia didakwa menyertai perhimpunan penyalaan lilin, atau candlelight vigil, berhampiran Penjara Changi yang diadakan tanpa permit pada 22 dan 29 November 2024 serta 23 Januari 2025.
Dia juga didakwa menyertai satu perhimpunan bagi menyuarakan sokongan terhadap pemansuhan hukuman mati di Singapura pada 3 Februari 2025 di 1 Havelock Road, lokasi Mahkamah Negara.
Menurut kenyataan polis, Howe telah menerima amaran keras berhubung kesalahan serupa yang dilakukan pada Mac dan April 2022, serta kerana menghalang proses keadilan pada Mac 2022.
Ten pula menghadapi dua tuduhan kerana didakwa menyertai perhimpunan awam tanpa permit pada 22 dan 29 November 2024 berhampiran Penjara Changi.
Sebelum ini, dia menerima amaran keras pada 18 September 2026 berhubung satu perhimpunan awam yang diadakan di luar Mahkamah Negara pada 3 Februari 2025.
Lim, seorang pelakon, didakwa menyertai perhimpunan sama di luar Mahkamah Negara pada 3 Februari 2025.
Neo, isteri Lim, dan Han juga menghadapi tuduhan sama.
Dalam kenyataan bertarikh 27 September, polis berkata Han telah dikenakan beberapa hukuman, termasuk amaran keras dan amaran bersyarat selama 12 bulan, berhubung beberapa kesalahan.
Kesalahan itu termasuk menyertai perarakan awam di Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Jun 2024, penglibatannya dalam perhimpunan awam tanpa permit pada Julai 2017, Mac 2022 dan April 2022, serta menghalang proses keadilan pada Mac dan April 2022.
Annamalai pula menghadapi satu tuduhan kerana didakwa menyertai perhimpunan pada 3 Februari 2025 di luar Mahkamah Negara.
Dia juga sedang menghadapi satu lagi tuduhan berasingan kerana gagal mematuhi arahan pembetulan pada 6 Oktober 2024. Kes itu akan dibicarakan pada 7 Oktober.
Annamalai sebelum ini didenda $3,000 dan dikenakan amaran bersyarat selama 24 bulan kerana menganjurkan perarakan awam ke Istana tanpa permit pada Jun 2017, Januari 2021 dan 2 Februari 2024.
Peguam Derek Wong, yang mewakili lima daripada enam individu itu, memohon agar kes ditangguhkan selama empat minggu.
Beliau juga memohon supaya anak guamnya dibebaskan tanpa jaminan, dengan alasan mereka menghadapi kesalahan yang hanya membawa hukuman denda. Sebaliknya, peguam itu memohon supaya mereka dibebaskan dengan ikat jamin peribadi.
Howe, yang tidak diwakili peguam, turut memohon ikat jamin peribadi.
Namun, semua permohonan itu ditolak oleh Hakim Daerah Wong Peck, yang menetapkan jaminan sebanyak $5,000 setiap seorang.
Kesemua enam individu itu akan kembali ke mahkamah untuk sebutan lanjut pada 20 Oktober.