Enam penumpang lori dikejarkan ke hospital dalam keadaan sedar selepas terlibat dalam satu kemalangan membabitkan kenderaan tersebut pada pagi 16 Jun.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan polis berkata mereka dimaklumkan mengenai nahas tersebut sekitar 7.20 pagi.
Menurut pihak berkuasa, lori itu dipercayai terbabas berhampiran persimpangan Tuas South Avenue 5 dan Tuas South Avenue 10, menghala ke arah stesen MRT Tuas Crescent.
Dalam rakaman kemalangan itu yang dimuat naik ke Facebook SGRV, sebuah lori berwarna kelabu dilihat terbalik di sisi jalan tidak jauh dari persimpangan tersebut.
Sebuah ambulans dilihat berhampiran, sementara pegawai SCDF memberikan bantuan kepada beberapa individu di laluan pejalan kaki di sebelah kiri jalan, lapor The Straits Times (ST).
Menurut pihak berkuasa, enam penumpang berusia antara 36 dengan 50 tahun telah dihantar ke Hospital Besar Ng Teng Fong.
Dua lagi individu mengalami cedera ringan namun enggan dibawa ke hospital.
Pemandu lori lelaki berusia 33 tahun sedang membantu siasatan polis.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg