Tujuh lelaki bertopeng menyerbu sebuah banglo kelas baik (GCB) di King Albert Park pada 2024 ketika satu permainan poker dengan pertaruhan tinggi sedang berlangsung.

Kumpulan perompak itu kemudian mengikat 11 orang di dalam rumah tersebut.

Mereka yang sebahagiannya bersenjatakan parang dan kayu besbol, telah melarikan barangan bernilai $4.9 juta, kebanyakannya mata wang kripto, sebelum segera meninggalkan Singapura dengan dua kereta berlainan melalui pusat pemeriksaan berasingan.

Pada 14 September, enam lelaki itu, semuanya rakyat Malaysia, dijatuhi hukuman penjara selepas masing-masing mengaku bersalah atas satu tuduhan rompakan berkumpulan bersenjata dan satu tuduhan pengubahan wang haram kerana memindahkan hasil rompakan itu dari Singapura ke Malaysia.

Suspek ketujuh masih bebas dan dipercayai berada di Thailand.

Dua dalang rompakan itu, Wong Chi San, 35 tahun, dan Goh Boon Tong, 30 tahun, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 12 tahun 11 bulan, 24 sebatan rotan dan denda $4,000.

Kedua-duanya turut mengaku bersalah atas kesalahan berkaitan perbuatan maksiat.

Mohd Hamidon Ahmed, 49 tahun, yang telah disertakan untuk menambah “kekuatan” kumpulan perompak itu, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun setengah dan 24 sebatan rotan.

Wong dan Goh telah menawarkan RM1.5 juta ($467,000) kepadanya untuk dibahagikan kepada anggota pasukannya.

Hamidon telah mengambil Kartik Palaniappan, 34 tahun, Mohd Hashim Ismail, 51 tahun, dan Muhammad Tauffiq Ahmad Fauzi, 34 tahun, sebagai anggota pasukannya.

Kartik dan Tauffiq masing-masing dihukum penjara tujuh tahun lapan bulan dan 24 sebatan rotan.

Hashim, yang tidak boleh disebat kerana berusia lebih 50 tahun, dihukum penjara lapan tahun lapan bulan.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Dillon Kok memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa permainan poker pada 18 April 2024 itu dianjurkan seorang warga China yang suaminya merupakan penyewa rumah tersebut.

Seorang warga Korea Selatan ditugaskan sebagai pengedar kad, manakala seorang warga China yang tinggal di rumah itu membantu mengendalikan permainan tersebut dan seorang warga Malaysia pula menyediakan khidmat urut kepada tujuh pemain itu.

Tujuh pemain poker itu terdiri daripada lima warga Singapura, seorang warga Indonesia dan seorang warga China.

Pada November 2023, Wong dan Goh mendapat tahu tentang permainan poker di rumah itu daripada rakan mereka yang pernah menyertainya.

Pertaruhannya boleh mencecah beberapa ratus ribu dolar dan dibayar menggunakan mata wang kripto.

Ketika mengunjungi rumah itu, mereka mendapati pintu pagarnya dibiarkan terbuka dan pintu kayunya tidak berkunci sepanjang permainan itu berlangsung.

Wong dan Goh telah ke Singapura untuk menentukan masa yang sesuai untuk melakukan rompakan itu.

Mereka menempah sebuah apartmen di Johor Bahru untuk pasukan itu dan merancang melakukan rompakan dengan berpakaian serba hitam serta memakai sarung tangan dan topeng ski.

Hamidon memberitahu Goh dia akan menyediakan pita pelekat dan pengikat kabel.

Pada 15 April 2024, Wong dan Goh memandu melepasi banglo itu dan mengesahkan bahawa permainan itu sedang berlangsung, tetapi pasukan Hamidon belum tiba di Singapura.

Pada malam 17 April 2024, Wong dan Goh mengarahkan Hamidon membawa pasukannya selepas mengesahkan permainan itu sedang berlangsung.

Selepas 2 pagi, mereka memasuki rumah itu melalui pintu pagar yang tidak berkunci dan mengikat semua yang berada di dalamnya.

Selepas memastikan pemindahan mata wang kripto itu berjaya dan melakukan perompakan wang tunai serta barangan berharga milik mangsa, kumpulan itu meninggalkan rumah tersebut.