Dua individu, seorang lelaki dan seorang remaja, telah ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kes rompakan, kata polis pada 25 Disember.
Polis berkata mereka dimaklumkan mengenai kejadian berhampiran Redhill Close itu pada kira-kira 2.50 petang, pada 24 Disember, di mana seorang lelaki didakwa telah merampas beg plastik yang mengandungi wang tunai daripada seorang warga emas.
Suspek kemudian melarikan diri, tambah polis.
Pegawai polis mengenal pasti identiti lelaki itu melalui siasatan susulan dan rakaman kamera polis, yang membawa kepada penangkapan lelaki berusia 20 tahun itu dalam tempoh empat jam.
Menurut laporan akhbar The Straits Times (ST), seorang remaja berusia 17 tahun yang dipercayai merupakan rakan yang bersekongkol dalam kejadian itu turut ditangkap.
Polis berkata wang tunai berjumlah sebanyak $1,625 telah ditemui semula .
Kededua suspek dijangka akan didakwa atas kesalahan merompak pada 26 Disember.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh berdepan hukuman penjara selama satu hingga tujuh tahun, serta hukuman sebatan.
Orang ramai yang menghadapi kes seperti ini dinasihatkan untuk bersikap tenang, memerhatikan rupa fizikal dan ciri-ciri khas penjenayah, serta menghubungi polis dengan segera.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg