Topik diikuti
Pergi ke BHku6 pekerja binaan Hyundai didakwa libat kes rasuah dek amalan kerja tidak selamat
6 pekerja binaan Hyundai didakwa libat kes rasuah dek amalan kerja tidak selamat
Dipercayai benarkan pekerja yang telah dilarang kembali bertugas di projek pencawang bawah tanah di Labrador Villa Road
6 pekerja binaan Hyundai didakwa libat kes rasuah dek amalan kerja tidak selamat
Enam pekerja Hyundai Engineering & Construction, dihadapkan ke mahkamah pada 12 Jun atas tuduhan menerima atau cuba mendapatkan sogokan berkait amalan kerja tidak selamat.
Kumpulan pekerja berusia 29 hingga 53 tahun itu berdepan pelbagai pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Rasuah serta Kanun Prosedur Jenayah.
Warga Bangladesh berusia 32 tahun, Shaheen, yang hanya dikenali dengan satu nama, memikul beban tuduhan terberat dengan 15 pertuduhan difailkan terhadapnya.
Dokumen mahkamah mendedahkan penyelaras keselamatan Hyundai itu didakwa cuba mengaut hasil rasuah kira-kira $6,200 daripada rakan sejawat di bawah pelbagai subkontraktor bagi projek Labrador Villa Road.
Shaheen dipercayai menjalankan siri perbuatan rasuah tersebut dalam beberapa insiden yang dikesan antara Julai 2023 dengan April 2024.
Antara dakwaan termasuk menerima wang haram sebagai jaminan untuk tidak mengenakan denda pentadbiran bagi pelanggaran keselamatan di tapak binaan.
Shaheen turut didakwa membenarkan seorang pekerja kembali ke tapak projek, meskipun individu tersebut dilarang bekerja kerana melanggar protokol keselamatan.
Hyundai Engineering & Construction merupakan kontraktor utama projek Labrador Villa Road, yang merangkumi sebuah menara komersial 34 tingkat serta pencawang bawah tanah terbesar di Asia Tenggara, dengan keluasan setara empat padang bola sepak.
Pencawang tersebut bakal membekalkan tenaga elektrik ke kawasan sekitar, termasuk Alexandra, Clementi, Keppel, Pasir Panjang, dan daerah Science Park.
Selain Shaheen, lima individu lain turut dihadapkan ke mahkamah.
Mereka terdiri daripada penyelaras keselamatan Biswas Uzzal, 42 tahun; Hossain Mithu Mohammad Arif, 33 tahun; Uddin Md Mesbah, 34 tahun; penyelia keselamatan Biswas Pradip Chandra, 29 tahun; serta pengurus keselamatan Siow Hung Wee, 53 tahun.
Siow merupakan warga Singapura, manakala rakan tertuduh yang lain merupakan warga Bangladesh.
Uzzal, Mithu, Pradip, dan Uddin didakwa menerima suapan berjumlah kira-kira $2,700 daripada rakan penyelaras keselamatan lain sepanjang 2023 hingga 2024.
Bagi Siow pula, dia didakwa berkomplot dengan Uzzal untuk menerima rasuah berjumlah $900 dalam empat kejadian berasingan antara Jun 2023 dengan Februari 2024 bagi mengelakkan caj pentadbiran keselamatan.
Selain itu, pengurus tersebut turut dituduh berpakat dengan Mithu bagi memperoleh suapan $1,000 supaya membenarkan seorang pekerja yang telah dilarang masuk kembali bertugas di tapak projek tersebut.
Siow juga didakwa terlibat dalam komplot bersama Uzzal dan Mithu pada Oktober 2023 untuk menerima rasuah sebanyak $500 daripada seorang lagi rakan penyelaras keselamatan.
Dalam perkembangan berkaitan, Uzzal didakwa berpakat dengan Pradip dalam tiga kejadian antara September dengan Disember 2023 untuk menerima sogokan berjumlah $650 secara keseluruhan.
Kedua-dua mereka turut dituduh bersama Mithu dalam dua lagi kejadian pada Oktober 2023 melibatkan wang suapan berjumlah $700, sebelum kesemua enam lelaki itu dijadual dibicarakan semula Julai depan.
Mereka yang disabit atas kesalahan rasuah boleh dikenakan denda sehingga $100,000, dipenjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
