Penduduk di kawasan baru Tengah kini boleh menggunakan enam pengecas kenderaan elektrik (EV) yang telah dipasang di tempat letak kereta bertingkat (MSCP) di Blok 112, Plantation Crescent, menjadikannya ruang pengecasan EV pertama di kawasan itu.
Menjelang akhir 2025, sekurang-kurangnya 32 pengecas EV akan dipasang di lima tempat letak kereta Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Tengah, kata Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Dr Amy Khor.
Dr Khor turut merasmikan pengecasan pertama di Dek 3B tempat letak kereta tersebut pada 25 Februari.
Bercakap dengan media, Dr Khor yang juga penasihat kepada pertubuhan akar umbi Hong Kah North, berkata:
“Menjelang akhir tahun 2025, lima tempat letak kereta HDB di Tengah akan dilengkapi dua pengecas pantas serta sehingga 30 pengecas semalaman.
“Pengecas EV baru di Tengah akan memberi manfaat kepada pengguna EV sedia ada dan akan datang yang menetap di kawasan ini, serta menggalak lebih ramai penduduk Tengah beralih kepada kenderaan elektrik.”
Enam pengecas EV yang baru dipasang terletak di lot 250, 251, 252, 265, 266 dan 267 di tempat letak kereta.
“Dengan menyepadukan prasarana pengecasan EV ke dalam pelan induk eko-bandar Tengah, kami mewujudkan persekitaran yang lebih mudah diakses dan selesa untuk penggunaan EV, sekali gus membolehkan penduduk mengamalkan gaya hidup lebih hijau,” tambah Dr Khor.
Tempat letak kereta itu menambah kepada lebih 2,000 titik pengecasan EV yang kini dimiliki dan dikendalikan SP.
SP Group (SP), dalam kenyataannya pada 25 Februari, berkata: “Pemasangan pengecas EV yang pertama di Tengah adalah sebahagian daripada rancangan jangka panjang SP untuk mengembangkan prasarana hijau estet itu.”
Selain menyediakan pengecasan semalaman untuk penduduk di Tengah, SP Mobility turut memenuhi keperluan pengguna lain, seperti pemandu e-hailing dan pengendali kenderaan komersial, jelas Ketua Mobility SP, Encik Dean Cher.
“Syarikat seperti Grab bergantung pada rangkaian pengecasan pantas SP Mobility untuk mengurangkan masa henti antara perjalanan.
“Pengecas pantas ini untuk memastikan kemudahan kepada pengguna yang sentiasa bergerak,” kata Encik Cher.
Pelancaran tersebut sejajar dengan usaha SP dalam menyokong Pelan Singapura Menghijau 2030 yang bertujuan memasang 60,000 pengecas EV di seluruh negara menjelang 2030.
Menjawab pertanyaan BH mengenai cabaran pemasangan di kawasan perumahan baru itu, Encik Cher berkata:
“Tengah merupakan sebuah bandar baru, dan pembangunan prasarana asas seperti isyarat telekomunikasi, pasar raya, serta kemudahan utiliti masih dalam proses, menjadikannya salah satu cabaran utama dalam pemasangan pengecas EV pertama di kawasan ini.
“Namun, bekalan kuasa tidak menjadi isu seperti di kawasan matang kerana tempat letak kereta di Tengah telah dibina dengan kapasiti tenaga yang mencukupi untuk menyokong pemasangan pengecas EV.”
Beliau berkongsi bahawa “penggunaan EV di Singapura sangat kukuh pada tahun lalu (2024), dengan lebih daripada 30 peratus pendaftaran kenderaan baru adalah EV”.
Masa depan kelihatan cerah, dan SP komited meluaskan rangkaian pengecasan untuk menyokong peralihan itu, tambahnya sambil mengakui peningkatan dalam kadar penggunaan EV di Singapura, yang mencatat sekitar 38 peratus.
Encik Cer berkata: “Prasarana perlu dibina terlebih dahulu kerana apabila orang melihat kemudahan pengecas tersedia, mereka akan lebih yakin dan bersedia beralih kepada EV.
“Kami akan mengambil pendekatan yang ditentukur dengan memastikan jumlah prasarana yang mencukupi serta menyesuaikannya mengikut keperluan.”
Semasa acara pelancaran, SP turut memperkenalkan ChargeUP, program ganjaran kesetiaan dalam aplikasi SP yang membolehkan pemandu EV memperoleh mata dan menebus faedah eksklusif di mana-mana tempat pengecasan SP Mobility di seluruh Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg