Harga Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) Kategori A meningkat kepada $92,850 dalam tender terbaru pada 19 Februari.

Premium yang dicatatkan itu adalah 9.2 peratus lebih tinggi daripada premium yang direkodkan dalam tender sebelumnya pada 5 Februari.

Ini merupakan satu perubahan kepada trend penurunan yang bermula sejak tender COE kedua pada Januari, apabila premium Kategori A berkurang daripada $93,699 kepada $93,601.

Ia kemudian susut kepada $85,000 pada 5 Februari, lapor The Straits Times (ST).

Sijil Kategori A diperuntukkan untuk kereta dan kenderaan elektrik (EV) kecil dan kurang berkuasa.

Pada harga $109,598, premium bagi COE Kategori B, yang digunakan untuk mendaftar kereta dan EV yang lebih besar dan berkuasa, turun 1.4 peratus daripada $111,104 yang direkodkan dalam tender dua minggu lalu.

Premium bagi sijil COE Kategori E (Kategori Terbuka) pula, adalah $110,002 – $2 lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Sijil kategori terbuka boleh digunakan untuk mendaftar mana-mana jenis kenderaan kecuali motosikal, tetapi biasanya digunakan bagi kereta lebih besar dan berkuasa.

Premium COE Kenderaan Komersial (Kategori C) naik 4.3 peratus kepada $65,189, berbanding $62,506 yang direkodkan pada 5 Februari.

Pada harga $8,791, premium COE motosikal (Kategori D) adalah 6.1 peratus lebih tinggi daripada $8,289 yang direkodkan sebelum ini.

COE diperlukan untuk mendaftar kenderaan bagi kegunaan di Singapura.