Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

6 remaja didakwa curi kereta tidak berkunci, ronda di Sengkang

Nov 6, 2024 | 5:54 PM
Kereta yang telah diletakkan di tempat letak kereta, dibawa pergi oleh enam remaja yang kemudiannya dibawa ronda-ronda sekitar Sengkang.
Kereta yang telah diletakkan di tempat letak kereta, dibawa pergi oleh enam remaja yang kemudiannya dibawa ronda-ronda sekitar Sengkang. - Foto SHIN MIN

Memandangkan fob kunci kereta rosak, Encik Wong Wei Loong, 37 tahun, dan isterinya sekali-sekala membiarkan pintu kereta mereka tidak berkunci, dan meninggalkan kunci kereta dalam kenderaan, sejak dua tahun yang lalu.

Tetapi apabila pengarah akaun di sebuah agensi kreatif itu pergi untuk mengambil sebuah kamera dari keretanya pada kira-kira 11.20 malam pada 29 Oktober, kenderaan itu hilang dari tempat ia terakhir diletakkan di tempat letak kereta bertingkat Blok 457 Sengkang West Road.

Selepas mencari keretanya di tempat letak kereta selama 40 minit, Encik Wong membuat laporan polis.

“Ia mengambil sedikit masa untuk saya sedar bahawa kereta itu sebenarnya dicuri,” katanya. “Benar-benar tidak dapat dibayangkan. Paling tidaknya, mungkin seseorang akan menceroboh masuk dan mencuri CashCard atau sesuatu yang lain. Tetapi kereta itu sendiri telah dibawa pergi,” kata Encik Wong.

Satu lagi kejutan menyusul bagi Encik Wong ketika beliau dan isterinya bercakap dengan dua anggota polis di tempat kejadian. 

Bunyi enjin keretanya kedengaran berputar dan kenderaan itu masuk ke tempat letak kereta. Kereta itu kemudian dipandu naik ke tingkat dua.

Pegawai polis dengan pantas bergerak untuk memintas dan memberhentikan kereta, dan mengarah orang di dalamnya untuk keluar. Enam remaja keluar dari kereta tersebut.

Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST), polis berkata bahawa lima lelaki, berumur antara 14 tahun dan 16 tahun, dan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun, telah ditahan kerana mencuri kenderaan bermotor.

“Salah seorang remaja lelaki berusia 16 tahun itu juga akan membantu siasatan kerana memiliki senjata berbahaya,” kata polis.

Selepas Encik Wong mendapatkan semula keretanya, beliau mengalihkannya dan meletakkannya di tingkat yang lebih tinggi. Ketika itulah beliau menemui pelbagai barangan yang didakwa ditinggalkan oleh remaja itu.

Barang-barang itu berselerak di tempat duduk depan dan belakang, dan di lantai kereta. Ia termasuk rokok elektronik, pengecas mudah alih, selipar, syiling dan resit dari stesen minyak.

Resit tersebut menunjukkan bahawa transaksi dengan nilai $59.52 telah dibuat untuk menambah nilai tangki petrol kereta itu di kiosk petrol SPC di 100 Punggol Central pada 2.12 pagi pada 29 Oktober menunjukkan bahawa kereta itu telah diambil juga pada malam sebelum kejadian dilaporkan.  

Kes curi kenderaan itu kini disiasat oleh polis, yang menambah kesalahan berkaitan vape telah dirujuk kepada Penguasa Sains Kesihatan (HSA).

Encik Wong juga mendapati kereta itu rosak. Kerosakan itu termasuk bumper longgar, beberapa calar pada luaran kereta dan penutup tempat abu rokok yang tercabut. Kamera pemuka kereta itu juga telah diputuskan dari soket kuasanya.

Tempat duduk kanak-kanak, yang dipasang di tempat duduk penumpang, juga telah dikeluarkan dan diletakkan di dalam but kereta. Menurut Encik Wong, sebahagian fabrik terkoyak, dan tali penahannya juga rosak.

Encik Wong, menyatakan, bagaimanapun, bahawa dia tidak kehilangan apa-apa barang berharga.

CashCard, kamera dan beberapa lensa kamera dalam beg di but keretanya tidak disentuh. Dia menganggarkan bahawa kamera Olympus EM-5 i dan lensa berharga sekitar $2,500.

Namun, Encik Wong berkata dia telah belajar daripada kesilapan dan berikrar tidak akan membiarkan keretanya tidak berkunci lagi. 

Mengenai kejadian itu, Encik Wong berkata: “Saya dapat menahan diri untuk tidak marah... Saya tidak tahu apa yang perlu saya rasakan tentang kejadian ini. Ini situasi yang agak menyedihkan, tetapi harap mereka (remaja) mempunyai masa untuk berubah.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg