Seorang lelaki berusia 36 tahun ditangkap kerana didakwa terlibat dalam kecurian sebuah kenderaan di Yishun.
Polis dimaklumkan mengenai kejadian itu pada kira-kira 8.45 pagi 26 Ogos, apabila mangsa melaporkan bahawa keretanya, yang diletakkan di tempat letak kereta terbuka di Blok 751, Yishun Street 72, dicuri.
Menerusi siasatan di lapangan dan imej dari kamera polis, pegawai daripada Divisyen Polis Woodlands mengenal pasti identiti suspek dan menangkapnya pada hari itu, kata polis pada 27 Ogos.
Kereta yang dicuri itu juga telah ditemui, kata polis, sambil menambah bahawa siasatan awal menunjukkan lelaki tersebut dipercayai terlibat dalam kes mencuri dari kenderaan bermotor lain di kawasan berhampiran.
Lelaki itu dijangka didakwa di mahkamah pada 28 Ogos, lapor The Straits Times.
Mereka yang didapati bersalah mencuri kenderaan boleh dijatuhi hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda.
Polis menasihatkan semua pemilik kenderaan supaya mengambil langkah pencegahan jenayah, seperti meletakkan kenderaan di kawasan terang, memasang sistem penggera antikecurian dan memastikan kenderaan mereka diselenggara dengan baik.
Pemilik juga harus mengeluarkan kad tunai dan barang berharga lain, seperti komputer riba dan telefon bimbit, sebelum meninggalkan kenderaan mereka.
Polis juga menasihatkan pemilik kenderaan supaya mengunci semua pintu dan menutup semua tingkap apabila meninggalkan kenderaan, walaupun untuk seketika, selain menanggalkan kunci penghidup kenderaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg