Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

6 SMC baru bagi GE2025

5 Kawasan Undi Perseorangan semasa akan ditiadakan, diserap dalam Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan
Mar 11, 2025 | 4:41 PM
Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Tampines Changkat merupakan salah satu daripada enam SMC baru dalam laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC), yang dibentangkan pada 11 Mac.
Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Tampines Changkat merupakan salah satu daripada enam SMC baru dalam laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC), yang dibentangkan pada 11 Mac. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Enam Kawasan Undi Perseorangan (SMC) baru dibentuk berikutan laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) yang membentangkan laporannya pada 11 Mac.

Enam SMC itu adalah Jalan Kayu, Jurong Central, Sembawang West, Tampines Changkat, Bukit Gombak dan Queenstown.

EBRC dalam laporannya berkata ini menjadikan jumlah keseluruhan SMC kepada 15, meningkat daripada 14.

Setakat 1 Februari, julat bilangan pengundi bagi SMC adalah antara 22,223 bagi SMC Kebun Baru dengan 33,566 pengundi untuk SMC Bukit Panjang – satu-satunya SMC yang menyaksikan tiada perubahan dibuat pada sempadan kawasan undi itu.

Lima SMC semasa iaitu Bukit Batok, Hong Kah North, MacPherson, Punggol West dan Yuhua pula akan ditiadakan.

SMC sedia ada lain yang kekal adalah Bukit Panjang, Hougang, Kebun Bahru, Marymount, Mountbatten, Pioneer, Potong Pasir, Radin Mas dan Yio Chu Kang.

Berdasarkan laporan EBRC, perangkaan Anggota Parlimen (AP) yang dipilih daripada SMC adalah 15.5 peratus daripada sejumlah 97 AP keseluruhan yang dicadangkan jawatankuasa itu.

Bilangan AP keseluruhan adalah lebih tinggi daripada bilangan semasa iaitu 93 AP.

Laporan itu menambah terdapat 28,384 pengundi bagi setiap AP, penurunan sedikit berbanding 28,510 pengundi bagi setiap AP pada 2020.

Secara keseluruhan, seramai 400,484 pengundi akan membuang undi merentasi 15 SMC.

Dalam laporannya, jawatankuasa itu menjelaskan SMC Hong Kah North, salah satu daripada 14 SMC semasa, akan diserap masuk ke dalam Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) Chua Chu Kang.

Ini setelah pembangunan perumahan baru di Tengah dan Bukit Batok West – daerah yang meliputi SMC tersebut – dijangka akan terus berkembang dan dengan 45,586 pengundi setakat 1 Februari 2025, ini menjadikan SMC itu terlalu besar untuk kekal sebagai SMC.

Oleh demikian, SMC Bukit Gombak yang baru akan dibentuk untuk menyerap daerah Bukit Gombak dan Hillview.

Baki daerah lain dalam SMC Hong Kah North, termasuk SMC semasa iaitu Bukit Batok dan Yuhua yang berdekatan, akan diserap masuk ke dalam GRC Jurong untuk membentuk GRC Jurong East-Bukit Batok yang baru.

Pembentukan SMC Sembawang West dan SMC Tampines Changkat yang baru adalah disebabkan pertumbuhan dalam GRC Sembawang dan GRC Tampines, tambah laporan itu.

Bagi GRC Ang Mo Kio dengan 190,800 pengundi pula, saiz GRC itu akan dikecilkan, memandangkan GRC itu mempunyai bilangan pengundi terbanyak.

Oleh demikian, beberapa daerah mengundi GRC itu telah dikeluarkan untuk membentuk SMC Jalan Kayu yang baru.

SMC Potong Pasir, dengan pertumbuhan penduduk yang tinggi disebabkan pembangunan perumahan HDB baru di Bidadari, akan menyaksikan beberapa daerah undinya diserap ke dalam GRC Marine Parade.

GRC Marine Parade juga akan menyerap SMC MacPherson dan daerah mengundi bersebelahan dengan Mountbatten SMC, jelas laporan tersebut.

Ia juga menyatakan SMC Jurong Central yang baru akan dibentuk, dengan beberapa daerah mengundi diserap masuk daripada GRC Jurong East-Bukit Batok.

Bagi mengekalkan GRC Tanjong Pagar sebagai GRC lima anggota, kata laporan itu, SMC Queenstown yang baru akan dibentuk.

Secara keseluruhan, EBRC mengesyorkan 33 divisyen pilihan raya yang terdiri daripada 18 GRC dan 15 SMC.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg