Perubahan besar ke atas sempadan kawasan undi menjelang Pilihan Raya 2025 (GE2025) telah diumumkan, melibatkan 22 daripada 31 kawasan undi yang dipertandingkan di Pilihan Raya 2020.
Lima Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) dan enam Kawasan Undi Perseorangan (SMC) baru diumumkan, menambah jumlah kawasan undi kepada 33.
Bilangan Anggota Parlimen (AP) dipilih pula bakal ditambah daripada 93 kepada 97 orang, dengan setiap AP mewakili 28,384 pengundi, kurang sedikit berbanding pada GE2020.
Lima GRC baru – Pasir Ris-Changi, Punggol, Jurong East-Bukit Batok, Marine Parade-Braddell Heights dan West Coast-Jurong West – antara senarai 18 GRC yang dinamakan. Dua GRC, Jurong dan Pasir Ris-Punggol ditiadakan, dengan daerah-daerah mengundi yang membentuknya disertakan ke kawasan undi lain.
Enam daripada 15 SMC yang dinamakan juga baru, iaitu Bukit Gombak, Jalan Kayu, Jurong Central, Queenstown, Sembawang West and Tampines Changkat. Namun SMC lain seperti Yuhua, Bukit Batok, Hong Kah North, MacPherson dan Punggol West tidak lagi wujud kerana disertakan dalam GRC lain.
Sembilan sempadan kawasan undi tidak berubah, iaitu GRC Bishan-Toa Payoh, Jalan Besar, Marsiling-Yew Tee, Nee Soon dan Sengkang; serta SMC Bukit Panjang, Hougang, Marymount dan Pioneer.
Perubahan ini diusulkan dalam Laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) yang diterbitkan pada 11 Mac, sekitar tujuh minggu selepas ia ditubuhkan.
Usulan itu telah diterima pemerintah, kata EBRC dalam laporan tersebut, di mana ia turut menerangkan sebab di sebalik perubahan yang dikemukakan.
Menurut EBRC, perubahan yang diusul itu mengambil kira jumlah pengundi yang bertambah di sesetengah kawasan, selain perubahan di kawasan undi bersebelahan. Sebahagian garis sempadan juga disusun semula supaya lebih selaras dengan jalan raya utama.
Sehingga 1 Februari, terdapat 2,753,226 pengundi dalam daftar pengundi, tambahan 101,791 pengundi berbanding 2,651,435 pengundi pada GE2020, kata EBRC.
EBRC berkata jumlah pengundi bertambah secara berbeza-beza di serata negara, dengan kawasan undi seperti GRC Pasir Ris-Punggol, GRC Sembawang, GRC Tampines, SMC Hong Kah North dan SMC Potong Pasir mengalami pertumbuhan lebih tinggi. Bilangan pengundi di setiap kawasan undi tersebut telah bertambah lebih 10,000 sejak GE2020.
Sebagai contoh, jumlah pengundi di GRC Pasir Ris-Punggol bertambah paling besar – sekitar 18,000 – sejak GE2020 dan dijangka terus meningkat apabila perumahan baru dibangunkan di sana, kata EBRC.
Justeru, ia mengeluarkan estet Punggol dari GRC Pasir Ris-Punggol dan menyatukannya dengan SMC Punggol West untuk membentuk GRC Punggol yang baru.
“Ini juga akan menunjukkan dengan lebih baik identiti estet-estet yang membentuk bandar Punggol,” kata EBRC.
Menyusuli semakan sempadan kawasan undi ini, jumlah GRC lima anggota dikurangkan daripada 11 GRC kepada 10 GRC, sementara jumlah GRC empat anggota ditambah daripada enam kepada lapan.
EBRC antara lain ditugaskan untuk mengekalkan saiz purata GRC, jumlah AP dipilih yang mewakili SMC dan nisbah purata pengundi dengan AP dipilih supaya serupa dengan GE2020.
Jumlah purata AP dalam setiap GRC menyusuli semakan ini adalah 4.56 orang, lebih rendah berbanding 4.65 sebelumnya. Dalam GE2025, ada sekitar 28,382 pengundi untuk setiap AP, berbanding 28,510 pengundi sebelumnya.
Sekitar 15.5 peratus AP akan dipilih dari kawasan undi perseorangan pada pilihan raya akan datang, berbanding 15.1 peratus pada GE2020.
Sementara itu, tiga kawasan undi yang dijangka menyaksikan persaingan sengit – GRC East Coast, GRC West Coast dan GRC Marine Parade – kekal sebagai GRC lima anggota, tetapi daerah mengundi masing-masing telah berubah.
Daerah mengundi yang merangkumi estet Loyang dan estet Flora dari GRC East Coast kini dikeluarkan dan disatukan dengan estet-estet Pasir Ris dari GRC Pasir Ris-Punggol untuk membentuk GRC Pasir Ris-Changi yang baru.
Sebaliknya, daerah mengundi merangkumi estet HDB Chai Chee dan estet privet Siglap dari GRC Marine Parade kini disertakan dalam GRC East Coast.
Selain mengambil keseluruhan SMC MacPherson, GRC Marine Parade turut mengambil dua daerah mengundi dari SMC Potong Pasir dan satu daerah mengundi dari SMC Mountbatten untuk membentuk GRC Marine Parade-Braddell Heights yang baru.
Daerah mengundi di bahagian timur GRC West Coast, seperti estet perumahan di Habourfront dan Sentosa kini dipindahkan ke SMC Radin Mas. Estet perumahan Dover dan Telok Blangah juga dipindahkan ke GRC Tanjong Pagar.
Namun, GRC West Coast turut mengambil beberapa estet perumahan di Jurong West dan Taman Jurong untuk membentuk GRC West Coast-Jurong West yang baru.
Dalam pada itu, GRC lima anggota baru, iaitu GRC Jurong East-Bukit Batok akan merangkumi daerah mengundi dari GRC Jurong serta beberapa daerah mengundi dari tiga SMC – Bukit Batok, Hong Kah North dan Yuhua – yang ditiadakan.
Menyusuli laporan EBRC ini, langkah besar seterusnya adalah pengeluaran Writ Pilihan Raya yang menetapkan tarikh Hari Penamaan Calon, di mana calon-calon dinamakan untuk kawasan undi yang bakal disaingi.
Tempoh berkempen – biasanya sembilan hari – akan mengikuti Hari Penamaan Calon, sebelum Hari Bertenang diadakan, sehari sebelum Hari Mengundi.
Dalam empat pilihan raya umum terakhir, tempoh antara penerbitan laporan EBRC dan Hari Mengundi adalah antara dua hingga empat bulan.
Dalam kiriman di Facebook menyusuli penerbitan laporan EBRC itu, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata:
“Perkara penting selanjutnya adalah untuk mengemas kini dan mengesahkan daftar pengundi, sebelum pilihan raya diumumkan nanti.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg