Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

6 warga S’pura tersenarai sebagai 500 Muslim paling berpengaruh di dunia

Oct 30, 2025 | 6:04 PM
Sumbangan enam warga Singapura turut ditampilkan dalam penerbitan The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims (Muslim 500: 500 Muslim Paling Berpengaruh di Dunia). (Dari atas, kiri, mengikut putaran jam) Mantan Presiden Puan Halimah Yaacob; Duta Singapura ke Kuwait (Bukan Pemastautin), Encik Zainul Abidin Rasheed; Pesuruhjaya Kehakiman, Encik Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir; imam Masjid Ba’alwie, Habib Syed Hassan Syed Mohammad Salim Al-Attas; tokoh-tokoh akademik Dr Mustafa Izzuddin dan Profesor Khairudin Aljunied.
Sumbangan enam warga Singapura turut ditampilkan dalam penerbitan The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims (Muslim 500: 500 Muslim Paling Berpengaruh di Dunia). (Dari atas, kiri, mengikut putaran jam) Mantan Presiden Puan Halimah Yaacob; Duta Singapura ke Kuwait (Bukan Pemastautin), Encik Zainul Abidin Rasheed; Pesuruhjaya Kehakiman, Encik Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir; imam Masjid Ba’alwie, Habib Syed Hassan Syed Mohammad Salim Al-Attas; tokoh-tokoh akademik Dr Mustafa Izzuddin dan Profesor Khairudin Aljunied. - Foto-foto fail

Seramai enam warga Singapura tersenarai antara 500 individu Islam paling berpengaruh di dunia.

Mereka termasuk dalam edisi 2026 senarai tahunan, The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims (Muslim 500: 500 Muslim Paling Berpengaruh di Dunia).

Enam individu itu ialah mantan Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob; Duta Singapura ke Kuwait (Bukan Pemastautin), Encik Zainul Abidin Rasheed; Pesuruhjaya Kehakiman, Encik Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir; imam Masjid Ba’alwie, Habib Syed Hassan Syed Mohammad Salim Al-Attas; tokoh-tokoh akademik Dr Mustafa Izzuddin dan Profesor Khairudin Aljunied.

Senarai tersebut diterbitkan oleh Pusat Kajian Strategik Diraja Islam (RISSC) di bawah Institut Pemikiran Islam Diraja, Amman, Jordan.

Puan Halimah kekal menjadi satu-satunya Muslimah dari Singapura yang diiktiraf sebagai antara 500 Muslim paling berpengaruh di dunia.

Menurut terbitan itu, beliau yang tersenarai di bawah kategori isu sosial, telah menggerakkan inisiatif yang menyokong masyarakat bersatu padu, memperkukuhkan kehidupan antara agama dan mengiktiraf pekerja yang menyumbang kepada kejayaan Singapura.

Encik Zainul pula, adalah Utusan Khas Menteri Ehwal Luar Singapura ke Timur Tengah, selain memainkan peranan sebagai Duta Bukan Bermastautin Singapura ke Kuwait.

Dalam senarai kategori politik itu, beliau disebut sebagai telah mengekalkan hubungan diplomatik Singapura bersama Dunia Muslim dan berkongsi kemahiran Singapura dalam mengekalkan hubungan antara kaum dan budaya dengan negara-negara yang mempunyai jumlah penduduk Muslim yang ramai.

Encik Mohamed Faizal dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Agung pada Mei 2024.

Menjelaskan tentang sumbangan beliau di bawah kategori filantropi, kebajikan dan pembangunan sosial, laporan itu berkata: 

“Beliau telah berkhidmat dalam pelbagai kapasiti peringkat nasional, termasuk sebagai anggota Lembaga Rayuan Muis, dan sumbangannya dalam perkhidmatan awam serta pembangunan masyarakat telah diiktiraf melalui pelbagai anugerah.

“Lulusan Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Sekolah Undang-Undang Harvard, beliau yang dilantik sebagai Peguam Kanan pada 2020 merupakan satu-satunya individu Muslim di Singapura yang pernah menerima pengiktirafan tersebut.”

Di bawah senarai kategori pendakwah dan pemimpin kerohanian, Habib Syed Hassan, yang lebih dikenali sebagai Habib Hassan, disebut telah memainkan peranan penting sebagai tunjang kekuatan dan kesepaduan dalam mengekalkan keharmonian kaum di Singapura dan di rantau Asia Tenggara.

Beliau mengutuk tindakan pengganasan dan menjadi pemaju usaha membawa masyarakat Islam menjalani kehidupan bersama agama lain di Singapura.

Profesor Khairudin merupakan pakar yang diiktiraf di peringkat sejagat dalam bidang sejarah intelek.

Beliau mengkaji interaksi dinamik antara Asia Tenggara dengan Islam antarabangsa.

Tersenarai di bawah kategori cendekiawan, beliau juga aktivis cendekiawan yang kerap tampil dalam pelbagai media dan dokumentari.

Dr Mustafa pula menerusi kerja kemasyarakatannya, menghasilkan pelbagai program sosiobudaya mampan serta menjadi peneraju dalam pembinaan jambatan antara agama, menurut penerbitan itu.

Beliau, yang juga tersenarai di bawah kategori isu sosial, warga Singapura pertama dilantik sebagai Zamil Fulbright Asean oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat, dan kekal sebagai satu-satunya warga Singapura yang dianugerahkan zamil berprestij dalam dialog peradaban oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Dunia Islam (Icesco).

Menurut penerbitan tersebut, pemilihan kedudukan dilakukan berdasarkan pelbagai faktor, termasuk budaya, pemikiran, kewangan, dan politik.

Aspek lain yang dipertimbangkan juga termasuk kebolehan pemimpin untuk membuat perubahan yang berkesan kepada dunia Islam dan pengikutnya.

Orang ramai boleh membaca tentang sumbangan enam warga Singapura tersebut melalui pautan, https://themuslim500.com/

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg