Sebanyak 60 karya seni hasil ciptaan penghuni penjara dan ‘desistor’ dipamerkan sempena Festival Seni Masyarakat Reben Kuning (YRCAF) 2026, dengan karya-karya tersebut mengetengahkan tema perubahan, peluang kedua serta pentingnya sokongan dalam perjalanan kembali ke pangkuan masyarakat.

Desistor merujuk kepada bekas pesalah yang berjaya tidak mengulangi kesalahan serta menunjukkan perubahan positif dari segi pemikiran dan tingkah laku.

Acara tersebut, yang berlangsung di One Holland Village dari 14 hingga 20 Ogos, turut mempamerkan sebahagian karya yang dihasilkan bersama keluarga banduan dan bekas banduan, serta rakan kerjasama masyarakat.

Turut hadir sebagai Tetamu Terhormat ialah Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan, Cik Josephine Teo, di samping Pengerusi Bersama Rangkaian Gerakan Masyarakat bagi Pemulihan Bekas Pesalah (CARE): iaitu Encik Phillip Tan, yang juga Pengerusi Reben Kuning Singapura, serta Pesuruhjaya Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS), Encik Matthew Wee.

Antara artis yang terlibat ialah Cik Nur Fariesha Lam Huey Miin, 35 tahun, seorang desistor dan pengasas De Sobriety Arts – satu perniagaan tempatan yang menjual karya seni serta menyediakan perkhidmatan reka bentuk grafik.

Beliau menjadikan seni sebagai ruang untuk mencari ‘penyembuhan’, tujuan hidup serta keberanian untuk membina semula kehidupannya.

Beliau berkongsi dengan Berita Harian (BH) semasa satu temu bual pada 14 Ogos, betapa pentingnya seni dalam membantunya memahami dan memproses emosi yang paling mendalam.

“Melalui seni, saya menemui penyembuhan, tujuan hidup dan keberanian untuk membina semula kehidupan saya.

“Setiap karya yang saya hasilkan mencerminkan ketabahan, perkembangan diri dan kepercayaan bahawa masa lalu tidak menentukan masa depan kita.

“Menjadi sebahagian daripada Festival Masyarakat Seni Reben Kuning memberi saya peluang untuk berkongsi kisah saya dan berharap dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk percaya bahawa perubahan itu mungkin, dan dengan sokongan, sesiapa sahaja boleh membina masa depan yang bermakna serta menyumbang semula kepada masyarakat,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur YRCAF 2026, Superintenden Mohammed Fadly Safie, dalam satu temu bual sempena pelancaran YRCAF 2026 di One Holland Village pada 14 Ogos, menekankan bagaimana usaha pemulihan perlukan sokongan dua hala.

“Tema Festival Masyarakat Seni Reben Kuning tahun ini mencerminkan semangat Reben Kuning dan mengingatkan kita bahawa usaha pemulihan perlukan sokongan dua hala.

“Melalui festival ini, kami berharap dapat mendekatkan masyarakat dengan kisah-kisah ini serta menyemai pemahaman, penerimaan dan sokongan yang lebih besar terhadap peluang kedua,” katanya.