Singapura mengesahkan komitmen kepada bantuan kemanusiaan bagi Gaza melalui kerjasama perubatan yang dipertingkat bersama Jordan.
Dalam satu kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 13 Februari, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, telah mengadakan pertemuan bersama Ketua Staf Bersama Angkatan Bersenjata Jordan (JAF), Mejar Jeneral Yousef Al-Huneiti, bagi membincangkan usaha memperluas kerjasama lanjut antara angkatan tentera negara masing-masing bagi menyokong bantuan kemanusiaan di Gaza.
Encik Zaqy tiba di Amman, Jordan, pada 12 Februari bagi menghulurkan bantuan kemanusiaan Singapura yang ketujuh bagi Gaza sebanyak sembilan tan – merangkumi bekalan perubatan, makanan dan produk kebersihan wanita – kepada Pertubuhan Amal Jordan Hashemite (JHCO) sebelum ia kemudiannya disalurkan ke Gaza.
Kedua-dua pihak juga membincangkan persekitaran keselamatan dan pembangunan geopolitik di rantau itu.
Delegasi Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang ke Jordan turut bertemu rakan sejawatan JAF bagi membincangkan usaha yang boleh diperluaskan kedua-dua pihak terhadap krisis kemanusiaan di Gaza, tambah Mindef.
Kenyataan Mindef juga menyatakan Encik Zaqy mengunjungi ibu pejabat JHCO dan mengadakan pertemuan bersama Setiausaha Agung pertubuhan itu, Dr Hussein Mohammad Al-Shebli.
Mereka membincangkan wadah bantuan selanjutnya seperti menyediakan sokongan perubatan khusus buat kanak-kanak.
Encik Zaqy juga bertemu Pengarah Agung Yayasan Barah Raja Hussein, Cik Nisreen Qatamesh, dengan beliau dimaklumkan mengenai operasi dan sokongan yang diberikan kepada pesakit dari Gaza oleh yayasan itu.
Bantuan Singapura kali ini menyaksikan pesawat Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) A330 Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) digunakan untuk menghantar bantuan tersebut ke Amman, Jordan, dan berlepas pada 8.14 pagi, 12 Februari.
Bekalan bantuan itu disumbangkan Relief Singapore, Caritas Humanitarian Aid and Relief Initiative Singapore (Charis), Mercy Relief dan Kementerian Kesihatan (MOH).
Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Serantau Changi (RHCC) SAF menerajui usaha menyelaras dan menyatukan sumbangan bekalan.
Bantuan kemanusiaan tersebut sebelum ini diumumkan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, dalam sidang Parlimen pada 4 Februari.
Sebelum ini, Encik Zaqy pada 12 Februari berkata bantuan kali ini akan melegakan sedikit tekanan yang dihadapi penduduk Gaza dek konflik Israel-Hamas tatkala mengharungi Ramadan dengan berlatarbelakangkan status gencatan senjata yang tidak menentu.
Ini sedang Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, memberi amaran pada 11 Februari untuk menamatkan gencatan senjata pada 15 Februari sekiranya Hamas tidak membebaskan tebusannya.
Dengan edisi bantuan terkini, Singapura telah menghulurkan bantuan bernilai lebih $19 juta ke Gaza sejauh ini.
Pada Januari, Singapura telah menghulurkan bantuan kemanusiaan yang keenam bernilai sekitar $1.3 juta kepada Gaza, hasil kempen pengumpulan dana Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) di Singapura.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman, telah menyerahkan cek $1.3 juta itu kepada rakan sejawatan di Jordan pada 21 Januari.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg