Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

RLAF lancar kempen kumpul dana ke-4 bagi mangsa di Gaza

Feb 24, 2025 | 6:52 PM
Peristiwa di Gaza telah mengakibatkan sekitar 1.9 juta orang dipindahkan, dengan 1.7 juta daripadanya terpaksa tinggal di kawasan seluas hanya 48 kilometer persegi.
Peristiwa di Gaza telah mengakibatkan sekitar 1.9 juta orang dipindahkan, dengan 1.7 juta daripadanya terpaksa tinggal di kawasan seluas hanya 48 kilometer persegi. - Foto AFP

Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) serta badan amal tempatan, Humanity Matters (HM), akan menganjurkan rayuan bagi mengumpul dana keempat dari 24 Februari hingga 6 April.

Dana itu bertujuan menyalurkan bantuan bagi memenuhi keperluan asas seperti makanan, minuman, bekalan perubatan, perkhidmatan penjagaan kesihatan serta sokongan pendidikan bagi kanak-kanak dan keluarga yang terjejas akibat krisis berterusan di Gaza.

Inisiatif tersebut diadakan dengan kerjasama M Kuasa Tiga (M³)@Towns sebagai sebahagian daripada inisiatif masyarakat sempena sambutan ulang tahun Singapura yang ke-60 (SG60).

Ia akan menganjurkan pelbagai kegiatan untuk menggerakkan masyarakat dan memperluaskan jangkauan dalam menyokong usaha amal itu, termasuk pengagihan bubur, iftar masyarakat, pengagihan set makanan, serta acara di bazar Raya sepanjang Ramadan.

Dalam kenyataan pada 24 Februari, RLAF menyatakan meskipun gencatan senjata berkuat kuasa sejak 19 Januari, bantuan tambahan masih amat diperlukan.

Orang ramai boleh menderma menerusi kaedah digital di laman GivePlease, giving.sg, PayNow, pemindahan wang menerusi bank, atau mengirim cek kepada RLAF.

Semua masjid tempatan juga akan terlibat dalam pengumpulan derma itu dengan menyediakan tabung khusus ‘Aid for Gaza 2025’ mulai 7 hingga 14 Mac.

Menurut RLAF, semua dana yang dikumpul akan disalurkan melalui Unicef, ERC dan HM.

Yayasan itu menyatakan: “Kami sangat bersimpati terhadap mangsa krisis kemanusiaan ini dan keluarga mereka.”

Peristiwa di Gaza telah mengakibatkan sekitar 1.9 juta orang dipindahkan, dengan 1.7 juta daripadanya terpaksa tinggal di kawasan seluas hanya 48 kilometer persegi.

Hal demikian menyebabkan kesesakan yang teruk dan semakin memburukkan krisis kemanusiaan, tambah RLAF.

Keadaan hidup yang tidak bersih telah mencetuskan krisis kesihatan awam, meningkatkan risiko penyakit bawaan air seperti cirit-birit, hepatitis dan polio, yang memberi ancaman besar kepada kesihatan kanak-kanak di bawah usia dua tahun.

Masalah kekurangan makanan, pemakanan tak seimbang dan kemiskinan terus meningkat, memburukkan lagi penderitaan keluarga yang terhimpit dengan masalah ekonomi. 

Di samping itu, sebahagian besar kanak-kanak telah kehilangan akses kepada pendidikan bermutu, air bersih dan perkhidmatan asas. 

Kerosakan pada 534 sekolah dijangka menjejas pendidikan sehingga lima tahun, memberi kesan kepada 658,760 pelajar berusia sekolah.

Dengan gencatan senjata yang kini berkuat kuasa, lebih banyak pintu sempadan ke Gaza telah dibuka, membolehkan sehingga 600 trak bantuan masuk setiap hari untuk menghantar makanan, bekalan perubatan dan keperluan asas. 

“Tumpuan kini beralih kepada usaha pemulihan jangka panjang, termasuk membina semula prasarana, memulihkan sistem kesihatan dan pendidikan, serta menyediakan sokongan berterusan kepada keluarga yang terjejas,” kata RLAF.

– PayNow ke RLAF menerusi nombor UEN 200910530ZRLA dan nyatakan ‘AIDFORGAZA2025’ di bawah kenyataan.

– Laman GivePlease di tinyurl.com/aidgaza2025.

– Laman giving.sg di tinyurl.com/gazaaid2025.

– Pemindahan bank ke akaun OCBC Current: 601313315001.

– Hantar cek kepada RLAF dengan menulis nama penderma, nombor kontak serta ‘AIDFORGAZA2025’ ke alamat RLAF, Masjid Yusof Ishak, No 10 Woodlands Drive 17, Level 4, Singapura 737740.

RLAF berkata sejajar dengan Skim Potongan Cukai Bantuan Kemanusiaan Luar Negeri (Ohas), derma tersebut layak mendapat pelepasan cukai 100 peratus yang diluluskan oleh Unit Pesuruhjaya Badan Amal. 

Untuk layak mendapatkan pelepasan cukai, layari laman https://tinyurl.com/aidforgaza2025-taxexemption

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg