Lebih 40 kucing terbiar dan ditinggalkan di sebuah flat sewa di Ang Mo Kio pada 2023, lama selepas penghuninya berpindah dari flat tersebut.
Walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh pertubuhan kebajikan haiwan seperti Persatuan Cegah Kekejaman ke atas Binatang (SPCA) untuk menghulurkan bantuan, pemilik kucing di flat tersebut enggan memberi kerjasama, malah menutup tingkap rumahnya untuk menghalang mana-mana pihak daripada memasuki rumahnya.
SPCA juga tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan untuk merampas kucing-kucing tersebut secara paksa.
Sehingga kini, masih tidak jelas sama ada haiwan tersebut sudah menerima rawatan veterinar atau berjaya ditempatkan di rumah baru.
Kes seperti itu menunjukkan betapa pentingnya usaha mengukuhkan kuasa kumpulan kebajikan haiwan semasa operasi menyelamat, kata Ketua Eksekutif SPCA baru, Encik Walter Leong, yang menyertai pertubuhan itu pada Julai.
Ini adalah salah satu daripada 15 cadangan yang disertakan dalam Kertas Putih bersama yang dikeluarkan pada 26 Ogos oleh SPCA dan kumpulan penyelamat hidupan liar, Persatuan Berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (Acres).
Kertas Putih tersebut bertujuan melindungi kebajikan haiwan dengan lebih baik, dan merupakan yang pertama bagi kedua-dua pertubuhan bukan mencari untung itu, lapor The Straits Times (ST).
Inisiatif bagi Kertas Putih tersebut pertama kali dicadangkan pada 2024 oleh mantan Anggota Parlimen GRC Nee Soon, Encik Louis Ng, dalam satu forum mengenai dasar perlindungan haiwan.
Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, yang ketika itu Menteri Undang-Undang, turut hadir pada acara tersebut.
“(Acara tersebut) mencetuskan perbualan tentang usaha menghimpunkan sekumpulan orang untuk meneliti apa yang boleh kita lakukan agar kebajikan haiwan menjadi keutamaan, dan memperbaiki (usaha ini),” kata Encik Leong.
Sebanyak 15 cadangan dasar yang diberikan merangkumi beberapa bidang tumpuan, termasuk memperkukuh pemahaman tentang kebajikan haiwan dalam kalangan pemerintah dan orang ramai, serta memperkukuh undang-undang sedia ada bagi melindungi haiwan peliharaan dan hidupan liar.
Antara cadangan penting termasuk menetapkan syarat usia minimum 16 tahun bagi semua pemilik haiwan peliharaan, dan meningkatkan hukuman di bawah peruntukan utama Akta Spesies Terancam (Import dan Eksport) - yang meliputi perdagangan hidupan liar secara haram – dan Akta Haiwan dan Burung.
Di bawah kedua-dua akta tersebut, pesalah kali pertama yang mengimport haiwan secara haram kini boleh dikenakan denda sehingga $10,000, dipenjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya sekali.
Kertas Putih tersebut mencadangkan supaya hukuman tersebut ditingkatkan kepada denda sehingga $50,000 bagi setiap spesimen haiwan (sehingga maksimum $500,000), hukuman penjara sehingga empat tahun, atau kedua-duanya sekali.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg