Semasa kecil, beliau tidak dibenarkan memelihara kucing di rumah.
Namun setelah dewasa, beliau bukan sahaja sudah membela lebih sembilan ekor kucing sejak 2017, malah baru-baru ini berjaya meraih tempat ketiga dalam pertandingan dandanan kucing berprestij di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa di Bandar Jiaxing, Wilayah Zhejiang, China pada 16 Ogos lalu.
Cik Aziemah Zakiyyah Azmi, 36 tahun, tidak menyangka dapat meraih tempat ketiga dalam pertandingan Universal Cat Association (UCA) Cat Grooming Elite Finals Show dan juga tempat ketiga bagi UCA Cat Groomer Elite Creative Competition, mewakili Singapura melalui jemputan khas.
“Saya telah mempersiapkan diri berbulan-bulan sebelum pertandingan ini, bukan sahaja dalam aspek teknik dandanan, tetapi juga aspek teori, bagi memahami jenis dan baka kucing yang berbeza supaya saya dapat bersiap sedia untuk mendandan kucing yang diberikan kepada saya pada hari pertandingan itu,” kata Cik Aziemah, yang lebih senang dipanggil Zee Azmi.
Cik Zee, yang juga pemilik bersama Cats Garage, mengendalikan perniagaan dandanan kucing dan makanan haiwan peliharaan di Oxley Bizhub 2, Ubi Road, bersama dua kakitangan sepenuh masa dan beberapa pekerja sambilan sejak 2018.
“Semuanya bermula daripada rasa cinta saya kepada kucing. Saya ingin memahami mereka dan memberikan penjagaan terbaik.
“Lama-kelamaan, timbul pula minat untuk menjadikan ia satu kerjaya. Melihat bagaimana bidang dandanan ini dapat meningkatkan keselesaan dan kesihatan kucing memberi saya inspirasi setiap hari,” kata ibu kepada seorang anak itu.
Menurut Cik Zee, cabaran terbesar dalam pertandingan tersebut adalah tekanan untuk beraksi dan bersaing bersama ramai pendandan kucing berbakat dari seluruh dunia, selain berdepan dengan juri yang pakar dalam bidang mereka.
“Biasanya bagi kategori dandanan kreatif, akan ada dua orang iaitu seorang pendandan dan seorang lagi pembantu.
“Oleh kerana saya ke China seorang diri, timbul rasa bimbang tidak dapat menghasilkan dandanan yang baik. Namun, pemenang tempat pertama bagi Show Elite Finals dengan rela hati menawarkan diri untuk menjadi pembantu saya,” kata Cik Zee, mengimbas kembali dengan penuh syukur terhadap sikap ikhlas dan sokongan yang ditunjukkan peserta itu.
Cik Zee memilih untuk membawa kelainan dalam pertandingan tersebut dengan mempersembahkan potongan gaya ‘naga’ — satu teknik yang menggabungkan ketelitian dengan sentuhan seni.
“Kesabaran adalah kunci. Saya selalu memulakan dengan memerhati gerak-geri kucing dan memberi mereka masa untuk mempercayai saya.
“Mengendalikan mereka dengan lembut, menggunakan nada suara yang menenangkan, dan memberikan rehat yang mencukupi mampu menghasilkan perbezaan yang besar,” kata Cik Zee, yang juga menepuk kucing itu dengan manja atau mengusap lembut kepalanya untuk menenangkannya.
Cik Zee menasihatkan mereka yang berminat untuk belajar cara mendandan kucing supaya menjalani latihan di PetPat Grooming Cat Academy, yang diiktiraf ISFC atau International Society of Feline Cosmetologists – sebuah persatuan berpusat di Amerika Syarikat yang menetapkan piawaian profesional bagi dandanan dan kesejahteraan kucing.
Walaupun pada mulanya ramai yang tidak memberi sokongan dan ragu-ragu bahawa beliau boleh mengendalikan kucing dengan pelbagai jenis dan ragam, kemenangannya membuktikan beliau lebih daripada mampu mendandan kucing dengan baik.
“Dengan latihan, saya dapat memperbaiki teknik, ilmu, dan keyakinan. Kemenangan ini sangat bermakna bagi saya sebagai wanita Melayu dari Singapura, mewakili masyarakat dan negara saya. Saya berharap ia menjadi inspirasi kepada sesiapa yang ingin mengejar impian,” kata Cik Zee, yang sebelum ini sudah memenangi beberapa pertandingan di Singapura dan Malaysia.
Kini, beliau tekun memberi latihan kepada stafnya, selain bakal mengendalikan kursus praktikal empat hari dengan Animal Arts Academy pada hujung tahun ini.
Seterusnya, Cik Zee berharap dapat menyertai pertandingan ISFC bertaraf antarabangsa yang akan diadakan di Suntec City pada 13 Disember akan datang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg