Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

639 individu disiasat dalam 2,200 kes tipu libat sejumlah $17.7j

Jul 18, 2025 | 5:57 PM
Kes yang disiasat termasuk penipuan penyamaran rakan, pelaburan, pekerjaan, e-dagang, penyamaran pegawai pemerintah dan penipuan sewa.
Kes yang disiasat termasuk penipuan penyamaran rakan, pelaburan, pekerjaan, e-dagang, penyamaran pegawai pemerintah dan penipuan sewa. - Foto ZAOBAO

Pasukan Polis Singapura (SPF) mengumumkan pada 18 Julai bahawa 639 individu sedang disiasat kerana disyaki terlibat dalam lebih 2,200 kes penipuan, yang telah menyebabkan kerugian sekurang-kurangnya $17.7 juta.

Satu operasi selama dua minggu yang dijalankan pegawai Jabatan Ehwal Komersial dan tujuh bahagian polis darat antara 4 dengan 17 Julai, berjaya menangkap lebih 600 individu, lapor The Business Times (BT).

Mereka yang ditangkap termasuk 171 wanita dan 468 lelaki yang disyaki terlibat dalam kes penipuan sama ada sebagai penipu atau keldai wang.

Kes-kes yang disiasat termasuk penipuan penyamaran rakan, pelaburan, pekerjaan, e-dagang, penyamaran pegawai pemerintah dan penipuan sewa, kata polis. 

Individu itu disiasat atas kesalahan menipu, pengubahan wang haram atau menyediakan perkhidmatan pembayaran tanpa lesen.

“Untuk mengelakkan menjadi rakan kongsi dalam jenayah, orang ramai harus sentiasa menolak permintaan orang lain untuk menggunakan akaun bank atau talian mudah alih mereka, kerana mereka akan bertanggungjawab jika akaun atau talian tersebut dikaitkan dengan jenayah,” kata polis.

Kesalahan menipu membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, manakala pengubahan wang haram membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga $500,000.

Hukuman bagi menjalankan perniagaan tanpa lesen yang menyediakan sebarang jenis perkhidmatan pembayaran di Singapura adalah denda sehingga $125,000, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg