Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

7 kanak-kanak bawah 12 tahun tanpa kerakyatan di S’pura

Oct 16, 2024 | 4:35 PM
Encik Ricqo Rafiezuwan adalah antara 853 orang tanpa kerakyatan yang tinggal di sini pada 31 Disember 2023. Sebagai seorang dewasa tanpa kerakyatan di Singapura yang bukan penduduk tetap (PR), beliau tidak berhak mendapat pendidikan, penjagaan kesihatan dan perumahan bersubsidi.
Encik Ricqo Rafiezuwan adalah antara 853 orang tanpa kerakyatan yang tinggal di sini pada 31 Disember 2023. Sebagai seorang dewasa tanpa kerakyatan di Singapura yang bukan penduduk tetap (PR), beliau tidak berhak mendapat pendidikan, penjagaan kesihatan dan perumahan bersubsidi. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Terdapat tujuh kanak-kanak tanpa kerakyatan di bawah usia 12 tahun di Singapura, dan 13 lagi berusia antara 12 dengan 18 tahun pada 31 Disember 2023.

Mereka merupakan 2.3 peratus daripada jumlah keseluruhan individu tanpa kerakyatan di sini.

Walaupun keadaan mereka berbeza-beza, satu sebab mereka tidak bernegara adalah kerana mereka dilahirkan di Singapura kepada ibu bapa asing yang tidak memperoleh kewarganegaraan negara mereka untuk anak-anak mereka.

Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, berkata demikian dalam jawapan bertulis parlimen pada 15 Oktober, berikutan soalan Anggota Parlimen Dilantik, Profesor Madya Razwana Begum Abdul Rahim, mengenai bilangan kanak-kanak tanpa kerakyatan, dan sokongan yang tersedia untuk mereka, lapor The Straits Times (ST).

Individu tanpa kerakyatan tidak diiktiraf sebagai warga mana-mana negara.

Soalan Profesor Razwana muncul selepas ST menerbitkan artikel pada September mengenai individu tanpa kerakyatan yang tinggal di Singapura.

Salah seorang daripada mereka ialah Encik Ricqo Rafiezuwan yang berusia 25 tahun, yang dilahirkan di Singapura tetapi tidak pernah meninggalkan negara ini mahupun bersekolah.

Encik Ricqo antara 853 orang tanpa kerakyatan yang tinggal di sini pada 31 Disember 2023.

Sebagai seorang dewasa tanpa kerakyatan di Singapura yang bukan penduduk tetap (PR), beliau tidak berhak mendapat pendidikan, penjagaan kesihatan dan perumahan bersubsidi.

Dalam jawapan bertulisnya kepada Profesor Razwana, Encik Shanmugam berkata seperti kebanyakan negara lain, Singapura tidak secara automatik memberikan kewarganegaraan kepada kanak-kanak yang dilahirkan di sini.

Beliau berkata permohonan kewarganegaraan Singapura dinilai berdasarkan pelbagai kriteria, termasuk kelakuan dan sumbangan pemohon, pautan ke Singapura seperti jika mereka mempunyai ahli keluarga warga Singapura, dan berapa lama mereka berada di sini.

Keadaan yang menyebabkan seseorang itu tiada kerakyatan juga akan diambil kira, tambahnya.

“Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa atau waris yang sah untuk menjaga kesejahteraan anak mereka, termasuk mendapatkan kewarganegaraan untuk anak itu.

“Bagaimanapun, jika kanak-kanak atau orang muda itu tidak mempunyai ibu bapa atau waris yang sanggup atau mampu memberikan penjagaan di Singapura, mereka mungkin diberikan perlindungan berkanun di bawah Akta Kanak-kanak dan Orang Muda,” kata menteri itu.

Dari segi mendapatkan khidmat penjagaan kesihatan, pendidikan dan perumahan, layanan terhadap individu tanpa kerakyatan yang merupakan PR tidak berbeza dengan PR lain, tambahnya.

Orang tanpa kerakyatan yang bukan PR juga boleh mendapatkan beberapa perkhidmatan.

Sebagai contoh, kanak-kanak dan orang muda tanpa kerakyatan di bawah jagaan negara boleh mendapatkan subsidi penjagaan kesihatan melalui Kad Pengecualian Yuran Perubatan.

Pelajar tanpa kerakyatan juga boleh mendaftar di sekolah arus utama dan institusi pengajian tinggi di sini jika mereka memenuhi kriteria kemasukan.

Watch on YouTube
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg