7 khidmat bas baru di bandar seperti Tengah, Sengkang, Tampines
7 khidmat bas baru di bandar seperti Tengah, Sengkang, Tampines
Tujuh perkhidmatan bas baru akan diperkenalkan dalam beberapa bulan akan datang di bandar Tengah, Hougang, Sengkang, Punggol, Tampines Boulevard, Yishun East dan Brickland.
Perkhidmatan baru itu merangkumi khidmat bas waktu sibuk, bas langsung ke kawasan bandar, serta bas ulang-alik.
Selain itu, dua perkhidmatan sedia ada akan dilanjutkan, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam satu kenyataan pada 9 Februari.
Menurut LTA, penambahbaikan itu dilakukan selepas perbincangan dengan penasihat akar umbi dan pemimpin masyarakat, menyusuli kajian terhadap liputan rangkaian bas dan corak penggunaan penumpang.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada Program Peningkatan Ketersambungan Bas yang mempunyai peruntukan sebanyak $900 juta untuk menambah baik rangkaian bas dari 2024 hingga 2031.
Ia khususnya untuk memperluas perkhidmatan di kawasan perumahan baru di serata negara.
Mulai 8 Mac, satu perkhidmatan bas ulang-alik baru, 831, akan mula beroperasi bagi menghubungkan Pusat Tukaran Bas Tengah dan Tengah Garden Avenue.
Pada hari yang sama, perkhidmatan 97/97e antara Marina Centre dengan Jurong East, yang sebelum ini berakhir di Pusat Tukaran Bas Jurong East, akan melanjutkan perjalanan sehingga Pusat Tukaran Bas Tengah.
Di bahagian barat pula, perkhidmatan 181 akan dilanjutkan ke Tengah melepasi laluan sedia ada antara Pusat Tukaran Bas Boon Lay dengan Jurong West Avenue 3.
Bercakap kepada media di stesen MRT Tampines North pada 9 Februari, Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, berkata meskipun beliau ingin menambah sebanyak mungkin perkhidmatan bas, perkara itu tidak mudah dilaksanakan.
Ini kerana pihak berkuasa perlu membeli bas, membina prasarana seperti pusat tukaran bas dan depoh, serta merekrut pemandu bas – yang menurut beliau, merupakan “tugas paling sukar”.
“Kami telah berusaha sedaya upaya untuk merekrut pemandu bas tempatan Singapura, tetapi walaupun dengan usaha terbaik ini, ia tetap sukar,” kata Encik Siow.
Bagi setiap seorang pemandu bas tempatan yang direkrut, pihak pengendali bas biasanya kehilangan dua pemandu akibat peletakan jawatan atau persaraan, kata beliau, sambil menambah bahawa umur median pemandu bas kini ialah 56 tahun dan akan terus meningkat dengan pantas.
Bagi memberi insentif kepada rakyat Singapura untuk menjadi pemandu, Encik Siow berkata pihak berkuasa mungkin perlu menilai semula dan menyesuaikan gaji permulaan pemandu bas, yang kini sekitar $3,600.
Dalam beberapa bulan akan datang, tiga perkhidmatan bas waktu sibuk baru – 457, 458 dan 459 – akan menghubungkan penduduk dari Hougang, Sengkang dan Punggol ke Laluan Circle dan pusat pekerjaan di Tai Seng.
Satu lagi perkhidmatan bas waktu sibuk baru, 460, akan menghubungkan penduduk di Tampines Boulevard dengan lebih pantas ke stesen MRT Tampines.
Bagi penduduk di Yishun East, perkhidmatan bas waktu sibuk baru, 461, akan menghubungkan mereka ke stesen MRT Khatib dengan lebih pantas.
Satu lagi khidmat bas langsung ke kawasan bandar, 684, akan diperkenalkan untuk penduduk di Brickland dan Bukit Batok West bagi perjalanan ke Kawasan Pusat Bandar (CBD).
LTA berkata maklumat lanjut mengenai perkhidmatan itu akan diumumkan menjelang tarikh mula operasi.

