Bilangan penumpang MRT, bas awam naik pada 2025
Bilangan penumpang yang membuat perjalanan menggunakan MRT dan bas awam terus meningkat pada 2025, namun penggunaan bas masih berada di bawah paras sebelum pandemik, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 30 Januari.
Bilangan penumpang MRT meningkat 2.29 peratus kepada purata 3.49 juta perjalanan sehari pada 2025, iaitu sekitar 78,000 perjalanan sehari lebih berbanding 3.41 juta pada 2024.
Penumpang bas awam pula mencatat purata 3.841 juta perjalanan sehari pada 2025, meningkat sedikit daripada 3.837 juta pada 2024.
Ini merupakan kenaikan 0.1 peratus, atau tambahan sekitar 4,000 perjalanan sehari.
Pada 2019, bas mencatat purata 4.1 juta perjalanan sehari.
Bilangan penumpang MRT dan LRT di Singapura telah melepasi paras sebelum pandemik pada 2024.
Bilangan penumpang LRT pula menurun sedikit pada 2025, sekali gus mencatatkan penurunan tahun ke tahun pertama sejak 2020.
Purata perjalanan harian penumpang LRT turun kepada 209,000, berbanding 210,000 pada 2024.
Pada 30 Januari, LTA juga mengeluarkan data bilangan penumpang bagi sektor pengangkutan dari satu tempat ke satu tempat (P2P), yang merangkumi teksi dan kereta sewa privet.
Bilangan penumpang pengangkutan P2P mencatatkan peningkatan keseluruhan, meskipun jumlah perjalanan teksi menurun sedikit.
Bagi kereta sewa privet, purata perjalanan harian penumpang pada 2025 ialah 460,000, meningkat 6.7 peratus daripada 431,000 pada 2024.
Jumlah ini juga lebih tinggi berbanding 397,000 perjalanan pada 2023, dan naik 9.8 peratus daripada 419,000 perjalanan sebelum Covid pada 2019.
Penggunaan teksi terus menurun, dengan purata perjalanan harian 166,000 pada 2025, berbanding 187,000 pada 2024.
Pada 2023, teksi mencatatkan 209,000 perjalanan harian, manakala pada 2019, ia mencecah 353,000 perjalanan.
Sektor P2P mencatatkan peningkatan keseluruhan dalam purata perjalanan harian pada 2025, dengan 626,000 perjalanan, meningkat daripada 618,000 pada 2024, namun masih di bawah 772,000 perjalanan pada 2019.

