Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 17 November berkata 20 bas awam elektrik buatan syarikat Yutong, yang beroperasi di jalan raya Singapura tidak boleh dikawal dari jauh oleh pengeluar China itu.
LTA menambah bas-bas tersebut juga tidak menyokong pengemaskinian perisian secara jauh, sebagai menjawab soalan The Straits Times (ST) mengenai keselamatan siber bas-bas berkenaan, susulan laporan daripada pengendali pengangkutan awam Norway, Ruter.
Ruter berkata pada akhir Oktober ujian ke atas bas-bas elektrik tersebut menunjukkan Yutong berkemungkinan boleh mematikannya dari jauh.
“Ini boleh disalahgunakan untuk menjejaskan bas,” kata laporannya.
Pengendali itu kini merancang untuk memperkenalkan keperluan keselamatan yang lebih ketat dan meningkatkan langkah antipenggodaman.
LTA berkata 20 bas Yutong di Singapura telah beroperasi dengan lancar bagi perkhidmatan bas awam sejak 2020.
Menurut Land Transport Guru, sebuah laman web bebas yang memberi tumpuan kepada sistem pengangkutan awam Singapura, bas-bas Yutong di sini digunakan oleh pengendali bas awam Tower Transit Singapore, Go-Ahead Singapore dan SMRT.
Mengulas tentang laporan Ruter, LTA berkata: “Kami sedia maklum kenyataan awam Yutong yang menjelaskan bahawa basnya tidak boleh dikawal atau dimatikan dari jauh”.
LTA juga sedia maklum Yutong telah memaklumkan bahawa data yang dikumpulkan digunakan semata-mata bagi penyelenggaraan kenderaan dan untuk meningkatkan prestasinya.
“Bagi bas-bas elektrik di tempat lain yang menerima pengemaskinian perisian secara jauh, ia hanya dijalankan dengan kelulusan jelas daripada pengendali dan tidak menjejas sistem kawalan kenderaan,” kata LTA.
Pihak berkuasa itu berkata bas-bas elektrik yang diperolehinya mesti mematuhi peraturan antarabangsa yang mewajibkan pengeluar melaksanakan reka bentuk keselamatan, pengurusan risiko, dan proses pengurusan kemas kini perisian sepanjang hayat kenderaan.
LTA juga menuntut agar kontraktornya mengambil langkah perlindungan data yang ketat.
LTA berkata ia akan bekerjasama rapat dengan semua pembekal bas dan melaksanakan pemeriksaan yang diperlukan untuk memastikan risiko berkaitan kesambungan luaran dapat dikurangkan sepenuhnya.
Pihaknya telah bertemu dengan Yutong dan pengeluar bas elektrik lain seperti BYD dan Zhongtong.
Laman web Yutong menyatakan syarikat itu telah menjual hampir 110,000 bas kepada lebih 100 negara di Eropah, Afrika, Amerika Latin dan rantau Asia Pasifik.
Ruter berkata ia akan memperkenalkan keperluan keselamatan yang lebih ketat dan meningkatkan langkah antipenggodaman selepas ujian pada Ogos yang menunjukkan Yutong mempunyai hak untuk memasuki sistem kawalan bas bagi tujuan pengemaskinian perisian dan diagnostik.
Ujian itu, di mana bas-bas dipandu ke dalam lombong bawah tanah untuk menyekat semua isyarat luaran, dijalankan ke atas bas Yutong serba baru dan juga bas berusia tiga tahun daripada pengeluar Belanda, VDL.
Ruter berkata ujian menunjukkan bas Belanda itu tidak mempunyai keupayaan untuk melakukan pengemaskinian perisian secara jauh, manakala bas buatan China mempunyai keupayaan itu.
The Guardian melaporkan Britain juga akan menyiasat sama ada ratusan bas buatan China boleh dikawal dari jauh oleh pengeluar mereka, dan sama ada bas keluaran Yutong terdedah kepada risiko campur tangan luar.
Laporan itu berkata siasatan ini dibuat berikutan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai penglibatan Beijing dalam infrastruktur Britain.
Denmark turut membuka siasatan selepas laporan Norway itu dikeluarkan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg