7 masjid beroperasi di bawah Lesen Penghunian Sementara (TOL) setakat Feb 2026
7 masjid beroperasi di bawah Lesen Penghunian Sementara (TOL) setakat Feb 2026
Terdapat tujuh masjid yang kini beroperasi di bawah Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang dikeluarkan Penguasa Tanah Singapura (SLA) setakat Februari 2026, demikian menurut Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Dr Faishal yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri) berkata demikian sebagai jawapan bertulis kepada soalan Parlimen yang diajukan Encik Fadly Fawzi (GRC Aljunied) pada 24 Februari.
Encik Fadly mengajukan soalan berkenaan senarai masjid yang beroperasi di bawah TOL dan rancangan jangka panjang yang bakal diambil Muis terhadap tempoh pengendalian dan operasi masjid sedemikian.
Menyentuh berkenaan rancangan jangka panjang masjid di bawah TOL, Dr Faishal berkata Muis membuat perancangan bagi memenuhi keperluan agama jangka panjang masyarakat Islam di sini untuk memastikan terdapat ruang solat yang cukup.
“Muis akan terus bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan untuk melanjutkan tempoh pengendalian operasi masjid di bawah TOL jika boleh, atau mengenal pasti pengaturan alternatif.
“Ini termasuk tempoh pajakan lebih panjang, tertakluk pada rancangan penggunaan tanah secara keseluruhan,” ujarnya.
Menukil laman rasmi SLA, TOL merupakan kebenaran khas yang dikeluarkan agensi itu untuk penggunaan tanah pemerintah bagi tujuan sementara.
Sejurus selepas tempoh itu tamat, ia harus dikembalikan kepada pemerintah untuk keperluan pembangunan semula.
Masjid Al-Firdaus, terletak di daerah Choa Chu Kang, merupakan antara masjid yang beroperasi di bawah TOL.
Ia akan melabuhkan tirainya apabila masjid baru dengan nama yang sama siap dibina di Tengah pada awal 2030-an, menyusuli pengumuman yang dibuat oleh Dr Faishal pada 28 November 2025.
Masjid itu akan terus beroperasi di premis sedia ada sehingga masjid baru dibuka kepada jemaah.
Semasa mengumumkannya, beliau berkata masjid sedemikian beroperasi di bawah TOL, dengan pemahaman bahawa masjid boleh kekal beroperasi sehingga agensi-agensi mempunyai perancangan kukuh kepada pembangunan di kawasan tersebut.
Memandangkan terdapat rancangan pembangunan semula di daerah tersebut, tapak masjid akan dikembalikan kepada pemerintah setelah operasinya dihentikan, ujarnya.
Dua lagi masjid yang telah dikenal pasti Berita Harian (BH) beroperasi di bawah TOL adalah Masjid Petempatan Melayu Sembawang dan Masjid Ahmad Ibrahim.
Secara berasingan, Encik Fadly turut mengajukan pertanyaan sekiranya wujudnya usaha daripada badan pemerintah untuk memulihara kepentingan sejarah dan masjid tradisional dengan seni bina kampung seperti Masjid Omar Salmah.
Dalam jawapan bertulis, Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo, berkata Lembaga Warisan Negara (NHB) “mengiktiraf warisan dan nilai komuniti masjid-masjid kampung”.
“Terdapat usaha untuk mendokumentasikan sejarah masjid-masjid kampung sedemikian.
“Sebagai contoh, Masjid Petempatan Melayu Sembawang dipaparkan sebagai sebahagian daripada Jejak Warisan Sembawang NHB.
“NHB akan terus bekerjasama dengan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) untuk mengenal pasti dan menilai bangunan yang sesuai, termasuk masjid-masjid, bagi tujuan pemeliharaan atau pemuliharaan,” ujar beliau.
Beliau menambah, penilaian ini akan mengambil kira nilai warisan dan seni bina bangunan, tujuan penggunaan bagi tapak tersebut, kepentingan masyarakat dan keperluan pembangunan untuk masa hadapan.

