Sasaran infak Ramadan 2026 naik, masjid atur strategi tangani cabaran
Sasaran infak Ramadan 2026 naik, masjid atur strategi tangani cabaran
Masjid tingkat kutipan melalui media sosial, pelbagai inisiatif baru sokong kos operasi Ramadan
Menyusuli kenaikan kos operasi, beberapa masjid telah menaikkan sasaran kutipan dana infak Ramadan 2026 sekitar 5 hingga 10 peratus untuk membiayai kegiatan sepanjang Ramadan.
Namun, tinjauan Berita Harian (BH) mendapati kebanyakan masjid berada di landasan yang tepat, dengan kebanyakannya mencapai 20 hingga 50 peratus daripada sasaran.
Beberapa masjid turut berkongsi cabaran seperti menampung jemaah yang semakin ramai dan kesukaran mendapatkan sumbangan secara dalam talian.
Masjid An-Nur, Masjid Assyakirin dan Masjid Khalid mencatat lebih 30 peratus, manakala Masjid Al-Istighfar dan Masjid Al-Abdul Razak mencatat sekurang-kurangnya 40 peratus.
Masjid Tasek Utara dan Masjid Petempatan Melayu masing-masing mencapai sekitar 50 peratus dan 60 peratus.
Menjelang Ramadan, masjid yakin tahap sumbangan setakat ini setara dengan 2025.
Pengerusi Masjid Haji Mohd Salleh (Geylang), Encik Saifulbahri Rasno, berkata:
“Menjelang permulaan Ramadan, kami biasanya menerima lebih pendermaan.”
Masjid Al-Istighfar juga melihat aliran sumbangan yang serupa, dengan jemaah didapati lebih bersemangat beramal apabila Ramadan bermula.
Secara amnya, dana infak Ramadan penting untuk menjalankan program semasa bulan suci itu.
Menjawab pertanyaan BH, jurucakap Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) berkata masjid menjalankan usaha pengumpulan dana seawal Disember untuk menyokong kegiatan pada Ramadan.
“Ia menyokong kegiatan pada Ramadan, termasuk pengagihan bubur, menyediakan juadah berbuka puasa dan sahur, tarawih, qiamullail serta kegiatan kemasyarakatan lain yang bermanfaat bagi jemaah dan masyarakat semasa bulan suci.
“Masjid kekal mengurus dan berbelanja secara berhemah ketika menganjurkan kegiatan Ramadan, dengan memanfaatkan dana untuk memenuhi keperluan masyarakat selaras dengan garis panduan yang ditetapkan,” jelas jurucakap Muis.
Muis menambah pengumpulan dana tersebut juga membantu masjid menampung kos operasi dan logistik yang meningkat susulan pertambahan jumlah jemaah semasa Ramadan.
Oleh itu, beberapa masjid menaikkan sasaran infak Ramadan bagi 2026.
Masjid An-Nur, contohnya, menaikkan sasaran daripada $330,000 pada 2025 kepada $350,000 pada 2026.
“Harga satu bungkus bubur meningkat daripada sekitar $1.20 pada 2025 kepada $1.50 pada 2026.
“Kos menyediakan juadah berbuka puasa seorang (anggota) jemaah juga meningkat sekitar $1,” jelas pihak Masjid An-Nur.
Pengerusi Masjid Al-Ansar dan Masjid Kampung Siglap, Encik Azman Mohd Ariffin, berkongsi pandangan serupa, sambil menambah bayaran untuk imam dan bilal juga perlu dipertingkatkan.
“Selain kenaikan harga makanan secara umum, kami juga mengambil kira kos pengangkutan dan sara hidup yang meningkat berbanding 2025,” jelasnya.
Sementara itu, pihak masjid turut bertekad untuk terus berkhidmat kepada jumlah anggota jemaah harian yang meningkat sepanjang Ramadan.
Pengerusi Masjid Khalid, Dr Mohamed Ariffin Mohamed Kawaja Kamaludin, berkata pihaknya mengurus sekitar 650 anggota jemaah pada hari bekerja dan kira-kira 800 anggota jemaah pada hujung minggu bagi pengagihan bubur.
Masjid Kampung Siglap juga menjangkakan peningkatan jemaah sekitar 10 peratus susulan pembukaan stesen MRT Siglap pada 2024.
Namun, sebahagian masjid masih mencatat kadar pengumpulan infak Ramadan sekitar 10 peratus atau lebih rendah.
Walaupun keadaan itu menimbulkan sedikit kebimbangan, pihak masjid komited menangani cabaran tersebut dengan melaksanakan beberapa langkah strategik.
Beberapa masjid meningkatkan kehadiran mereka di media sosial, selain daripada mengumpul dana secara fizikal di masjid dan selepas acara dakwah.
Ia termasuk menyebarkan kempen sumbangan Infaq Ramadan di Facebook, Instagram dan TikTok. Ada juga mengumpul dana melalui kod QR di pelbagai wadah.
Pihak masjid akur pendekatan tersebut memerlukan kreativiti kerana jemaah lebih terdedah kepada pelbagai kempen sumbangan, termasuk daripada masjid lain serta badan bukan pemerintah (NGO) tempatan dan antarabangsa.
Dalam pada itu, terdapat masjid yang turut memperkenalkan inisiatif baru untuk menarik perhatian jemaah.
Sebagai contoh, Masjid Sallim Mattar memaparkan jumlah infak Ramadan yang sudah dikumpul secara langsung di skrin televisyen besar, termasuk nama penderma dan sumbangan mereka.
Masjid Khalid pula memperkenalkan pilihan sumbangan pada nilai yang lebih rendah, iaitu $50 dan $100, berbanding jumlah minimum $300 sebelum ini.
“Kami menerima maklum balas bahawa kadar $300 terlalu tinggi bagi segelintir jemaah.
“Lantas, kami menawarkan sumbangan lebih rendah untuk mendorong lebih ramai jemaah menderma,” jelas Dr Ariffin.
Masjid Omar Salmah di Thomson pula memperkenalkan jerayawara, dengan sokongan Masjid Al-Islah, untuk mencapai sasaran $57,000.
Pihak masjid bagaimanapun tenang, kerana lazimnya turut menerima sumbangan dalam bentuk barangan, sekali gus membantu mereka menjalankan kegiatan Ramadan dengan lancar.
Encik Saifulbahri berkata: “Misalnya di Masjid Haji Mohd Salleh (Geylang), terdapat penderma yang tampil membiayai kos tempahan buah-buahan untuk diagihkan sepanjang bulan (Ramadan).”
Dr Ariffin pula berkongsi Masjid Khalid menerima pendermaan sekitar 1,000 kilogram kurma, serta minyak masak dan beras untuk penyediaan bubur.
Bagi Masjid Tasek Utara, kos bagi bekalan air mineral dan bubur turut ditaja.
Sementara itu, sumbangan korporat dan penderma tetap yang mempunyai ikatan rapat dengan masjid turut membantu memperkukuh kutipan infak.
Menerusi strategi tersebut, pihak masjid gigih mengemudi cabaran demi menyediakan perkhidmatan yang terbaik buat jemaah.
Menjelang permulaan Ramadan, pihak masjid berharap keghairahan jemaah akan terus meningkat, sekali gus mendorong lebih ramai untuk beramal dan menyumbang.

