Sekitar 7,000 flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan dibina di bekas tapak Kelab Keppel sebagai sebahagian daripada estet baru yang dinamakan Berlayar.
Angka itu lebih tinggi berbanding 6,000 unit yang diumumkan sebelum ini hasil kajian perancangan di kawasan itu, kata HDB dalam kenyataan media pada 23 September.
Projek itu menandakan permulaan pembangunan, Greater Southern Waterfront (GSW).
Berucap dalam majlis Anugerah HDB 2025 di Pusat Konvensyen Resorts World pada 23 September, Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, berkata nama Berlayar dipilih bagi menghargai sejarah maritim kawasan tersebut.
Dengan itu, projek tersebut dibayangkan menyatukan alam semula jadi, warisan dan gaya hidup moden.
“Projek Berlayar bukan sekadar sebuah estet perumahan, malah akan menjadi sebuah masyarakat pesisir pantai di mana alam semula jadi, warisan dan kehidupan moden bersatu,” kata beliau.
Tambahnya, estet tersebut dijangka menyediakan kira-kira 10,000 rumah, termasuk 7,000 flat awam.
Projek BTO pertama yang dinamakan Berlayar Residences akan dilancarkan pada Oktober 2025 dengan menawarkan 870 unit yang terdiri daripada flat dua bilik fleksi hingga empat bilik.
Projek itu juga akan merangkumi 200 flat sewa awam.
Terletak di antara stesen MRT Telok Blangah dengan Labrador Park, pembangunan baru itu akan menampilkan blok setinggi antara 19 dengan 46 tingkat.
Encik Chee menambah, projek BTO di estet Berlayar direka dengan ketinggian bertingkat-tingkat supaya lebih banyak unit dapat menikmati pemandangan pesisir pantai serta Southern Ridges yang merangkumi Taman Mount Faber, Taman Bukit Telok Blangah, Hutan Simpanan Labrador dan Taman Kent Ridge.
Pengkelasan flat tersebut sama ada dalam kategori Standard, Plus atau Prime akan diumumkan semasa pelancaran, kata HDB.
Bangunannya juga akan menggunakan palet warna putih dan biru, mencerminkan lokasinya yang bersebelahan laut.
Motif fauna yang ditemui di kawasan itu akan ditampilkan pada ruang masyarakat, papan penunjuk arah dan taman permainan di Berlayar Residences.
Selain itu, sehingga 10 hektar kawasan tapak berkenaan akan diperuntukkan untuk ruang hijau, kata Encik Chee.
Dalam ucapannya juga, Encik Chee menegaskan tumpuan pemerintah dalam membina lebih banyak rumah di serata negara pada kadar lebih pantas bagi memenuhi permintaan perumahan rakyat Singapura.
Selain kawasan GSW dan Mount Pleasant, lebih banyak rumah akan turut dibina di kawasan baru seperti Woodlands North Coast dan Sembawang North, tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg