Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

HDB bakal bina 6,000 flat BTO di Mount Pleasant

Sep 2, 2025 | 7:15 PM
Singapura, Mount Pleasant, Bukit Brown, HDB, BTO
Kawasan Mount Pleasant, yang bersaiz sekitar sepertiga daripada Bidadari, terletak berhampiran Bukit Brown dan Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah. - Foto HDB

Sekitar 6,000 unit flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) daripada empat projek Bina Ikut Tempahan (BTO) akan dibina di Mount Pleasant – meningkat daripada 5,000 unit yang diumumkan sebelum ini.

Dalam butiran terkini pada 2 September mengenai estet seluas 33 hektar itu, HDB berkata ia menambah bekalan unit selepas menjalankan kajian perancangan terperinci di kawasan berkenaan. 

HDB sebelum ini menyatakan kawasan itu akan mempunyai enam projek BTO.

Projek BTO pertama di kawasan itu, yang akan dilancarkan pada Oktober, bakal mengetengahkan konsep ‘flat putih’ atau white flats.

Flat dengan konsep terbuka itu direka tanpa dinding pemisah bagi ruang tamu dan bilik tidur.

Ini akan menjadi projek BTO kedua yang menawarkan susun atur flat putih, selepas Crawford Heights di Kallang-Whampoa.

Menurut HDB, empat daripada 10 pembeli rumah telah memilih susun atur baru itu bagi projek Crawford Heights yang dilancarkan pada Oktober 2024, manakala selebihnya memilih susun atur biasa dengan dinding pemisah.

Projek Mount Pleasant Crest yang bakal dilancarkan, menawarkan 1,350 unit flat dua bilik fleksibel, tiga dan empat bilik di sebuah tapak di Thomson Road, dengan kemudahan termasuk prasekolah, kedai makan dan pasar raya.

Mount Pleasant Crest, yang berada di bawah bandar Toa Payoh, akan mempunyai 270 unit flat sewa awam.

Dua blok akan menempatkan gabungan unit sewa awam dan unit BTO biasa, manakala satu blok akan menempatkan unit sewa sahaja.

HDB berkata butiran lanjut mengenai projek itu, termasuk klasifikasinya, akan diumumkan semasa pelancaran.

Penjualan bagi tiga projek lain di kawasan itu dijangka ditawarkan dalam beberapa tahun mendatang, lapor The Straits Times (ST).

Kawasan Mount Pleasant, yang bersaiz sekitar sepertiga daripada Bidadari, terletak berhampiran Bukit Brown dan Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah.

Kawasan itu pernah menjadi tapak Akademi Polis Lama dari 1929 hingga 2005, yang digunakan sebagai kawasan latihan dan pendidikan polis sebelum operasinya dipindahkan ke Akademi Home Team di Choa Chu Kang.

Kawasan Mount Pleasant bakal dihubungkan dengan stesen MRT Mount Pleasant di Laluan Thomson-East Coast (TEL), yang akan dibuka selari dengan pembangunan perumahan tersebut.

Jalan-jalan baru juga akan dibina di kawasan itu, termasuk jalan dengan lorong bas khas, laluan pejalan kaki lebih lebar dan laluan basikal.

Kolam Air MacRitchie, yang mempunyai kawasan hijau dan kemudahan rekreasi, turut terletak berhampiran kawasan itu.

Dalam satu video yang dimuat naik ke Facebook pada 2 September, Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, berkata rancangan bagi Mount Pleasant akan menyediakan lebih banyak pilihan perumahan untuk rakyat Singapura dan memberi lebih sokongan kepada keluarga muda yang ingin tinggal berdekatan ibu bapa mereka.

Orang ramai boleh melihat pelan pembangunan Mount Pleasant di Hab HDB di Toa Payoh mulai 24 September.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg