Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

75,000 set berbuka percuma di FairPrice sempena Ramadan

Feb 28, 2025 | 12:12 PM
Pelanggan beragama Islam boleh mendapatkan set minuman dan makanan ringan itu 30 minit sebelum atau selepas waktu berbuka puasa.
Pelanggan beragama Islam boleh mendapatkan set minuman dan makanan ringan itu 30 minit sebelum atau selepas waktu berbuka puasa. - Foto fail

Rangkaian pasar raya FairPrice akan mengagihkan lebih 75,000 makanan ringan dan minuman percuma kepada pelanggan beragama Islam di 59 cawangan pasar raya itu di seluruh negara, sepanjang Ramadan ini.

Agihan yang berlangsung dari 2 hingga 30 Mac ini, merupakan sebahagian daripada usaha Kumpulan FairPrice untuk menyokong masyarakat Islam semasa mereka berpuasa, menurut satu kenyataan media.

Setiap pelanggan Islam akan menerima satu set minuman, seperti susu; minuman isotonik atau air; serta makanan ringan seperti kurma atau biskut, selagi stok masih ada.

Set minuman dan makanan ringan itu boleh didapatkan 30 minit sebelum atau selepas waktu berbuka puasa, lapor The Straits Times (ST).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan FairPrice, Encik Vipul Chawla, berkata: 

“Ramadan adalah waktu untuk beribadah dan bermuhasabah dan kami ingin mengambil peluang ini untuk menyokong masyarakat Muslim sepanjang tempoh yang bermakna ini.

“Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat menyatukan rakyat Singapura dalam semangat memperkukuh hubungan kemasyarakatan, serta melaksanakan misi kami untuk menjadikan setiap hari lebih baik bagi pelanggan kami.”

Buat pertama kali pada 2025, sukarelawan dari ibu pejabat Kumpulan FairPrice akan turut serta dalam pengagihan set makanan ringan dan minuman itu.

Pada 3 dan 4 Mac, FairPrice juga akan mengagihkan 1,500 pek penjagaan atau dikenali sebagai care pack Ramadan kepada penerima bantuan M Kuasa Tiga (M³).

M³ ialah inisiatif yang menyatukan tiga institusi utama Melayu/Islam – iaitu Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Mendaki, dan Persatuan Rakyat (PA) Mesra, di bawah satu bumbung.

Selain itu, dua pesta blok Hari Raya akan diadakan di Tampines dan Woodlands pada April.

Diskaun khas untuk barangan keperluan raya juga akan berlangsung sehingga 9 April.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh melayari laman web FairPrice di www.fairprice.com.sg/hariraya

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg