Seramai 77 individu berusia 17 hingga 71 tahun sedang disiasat kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pinjaman wang tanpa lesen.
Polis pada 23 Oktober menyatakan ini susulan operasi di seluruh negara yang dijalankan antara 14 hingga 18 Oktober.
Menurut siasatan awal, 11 suspek didakwa melakukan gangguan di tempat tinggal peminjam, manakala 23 suspek dipercayai memainkan peranan sebagai orang suruhan yang membantu dalam kegiatan pinjaman wang tanpa lesen dengan membuat pemindahan wang melalui ATM.
Baki 43 suspek dipercayai membuka akaun bank dan menyerahkan butiran peribadi akaun bank, kad ATM dan/atau token perbankan Internet mereka untuk digunakan dalam kegiatan pinjaman wang tanpa lesen.
Polis menasihati orang ramai agar menjauhi pemiutang wang tanpa lesen, yang “tidak teragak-agak untuk melakukan gangguan berterusan dan berbahaya ke atas peminjam dan keluarga mereka”.
Tindakan sedemikian termasuk membakar, menyimbah cat di tempat tinggal peminjam dan mengunci pintu pagar menggunakan rantai atau kunci basikal untuk mengurung penghuni.
Di bawah Akta Pemiutang Wang, seseorang yang akaun banknya, kad ATM atau token perbankan Internet digunakan untuk memudahkan urusan jenayah pemiutang dalam kegiatan pinjaman wang tanpa lesen dianggap telah membantu dalam operasi perniagaan pinjaman wang tanpa lesen.
Pesalah kali pertama boleh dipenjara sehingga empat tahun, didenda antara $30,000 dengan $300,000, dan menerima hingga enam sebatan rotan.
Mereka yang membantu pihak pemiutang wang tanpa lesen melakukan atau cuba melakukan perbuatan mengganggu ketenteraman boleh dipenjara sehingga lima tahun, dikenakan denda antara $5,000 dengan $50,000, dan dirotan antara tiga dengan enam kali bagi kesalahan pertama.
Warga asing yang didapati bersalah meminjam daripada pemiutang wang tanpa lesen atau membantu mereka akan dibatalkan pas pelajar atau pas kerja mereka dan dihantar pulang.
Sesiapa yang mempunyai maklumat tentang mereka yang terlibat dalam kegiatan pinjaman wang tanpa lesen boleh menghubungi polis di talian 999.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg