Seorang warga Singapura menjadi orang pertama dihadapkan ke mahkamah, setahun selepas kes pengubahan wang haram terbesar di Singapura melibatkan 10 individu asal China terbongkar, lapor The Straits Times.
Liew Yik Kit, 41 tahun, adalah bekas pemandu peribadi kepada warga Kemboja, Su Binghai, yang melarikan diri semasa siasatan dan dikehendaki kerana terlibat dalam dakwaan kesalahan pengubahan wang haram. Liew berdepan dua tuduhan pada 15 Ogos.
Dia didakwa berbohong kepada polis bahawa Su Binghai tidak meninggalkan sebarang barang berharga dalam simpanannya, sedangkan sebenarnya ada empat kereta mewah milik ahli perniagaan itu – Rolls-Royce Phantom, Rolls-Royce Cullinan, Ferrari F8 Spider dan Ferrari Stradale.
Bekas pemandu itu kemudian dikatakan telah melupuskan empat kereta berkenaan di tempat letak kereta bertingkat di Blk 20 Upper Boon Keng Road, antara 11 September 2023 dengan 5 Oktober 2023.
Perbuatan yang didakwa tersebut telah menyebabkan polis terlepas untuk merampas empat kenderaan tersebut, dan menghalang perjalanan keadilan.
Rekod syarikat menunjukkan Liew ialah wakil sah sebuah syarikat penyewaan kereta, Quality Limo Services. Status firma itu kini telah dibatalkan.
Liew, yang masih belum memperolehi peguam, telah meminta mahkamah memberinya masa untuk mempertimbangkan pengakuannya dan mendapatkan nasihat undang-undang. Dia dibenarkan ikat jamin $15,000.
Dua warga China yang merupakan bekas pengurus perhubungan di bank turut didakwa pada 15 Ogos.
Liu Kai, 35 tahun, yang merupakan pengurus perhubungan di bank swasta Switzerland, Julius Baer, didakwa bersubahat dengan salah seorang pesalah untuk menggunakan dokumen palsu.
Liu menghadapi satu pertuduhan bersubahat dengan Lin Baoying, satu-satunya wanita yang disabitkan dalam kes itu, untuk menyerahkan dokumen cukai palsu pada November 2020.
Polis berkata Liu didakwa menerima pelbagai perubahan pada dokumen cukai palsu daripada Lin Baoying sebelum menyerahkan versi terakhir kepada bank sebagai dokumen sokongan untuk memudahkan pembukaan satu akaun bank di Switzerland.
Wang Qiming, 26 tahun, bekas pengurus perhubungan di Citibank, yang pelanggannya termasuk dua daripada 10 pesalah penggubahan wang haram, Su Baolin dan Vang Shuiming, dihadapkan 10 pertuduhan.
Menurut kertas pertuduhan, pada sekitar Disember 2020, Wang didakwa bersubahat dengan Su Baolin dengan membuat perjanjian pinjaman palsu untuk menipu Standard Chartered Bank mengenai sumber deposit yang dimasukkan ke dalam akaun banknya.
Wang telah didakwa memiliki wang tunai $481,678 yang dikutip bagi pihak Su Baolin pada 15 Disember 2020, dan tidak dapat menjelaskan dengan memuaskan dari mana ia datang.
Dia didakwa melakukan pengubahan wang haram tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg