Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) melancarkan 7,964 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) pada 4 November, termasuk 1,300 unit di Sembawang North dengan tempoh menunggu kurang tiga tahun.

Tujuh projek ditawarkan di Bedok, Geylang, Sembawang, Tengah, Toa Payoh dan Yishun dalam pelancaran terakhir 2026.

Had pendapatan baharu sebanyak $16,000 bagi keluarga dan $8,000 bagi individu bujang turut berkuat kuasa.

Toa Payoh Hillside, satu-satunya projek Prime, dikenakan kadar bayaran balik subsidi 11 peratus.

Kadar bayaran balik subsidi ialah peratusan harga jualan semula atau nilai taksiran flat yang perlu dibayar kepada HDB apabila flat dijual semula, mengikut nilai yang lebih tinggi.

Tiga projek Plus ialah Bayshore Oasis dan Bayshore Sails di Bedok, dengan kadar bayaran balik subsidi 9 peratus, sementara Merpati Meadow di Geylang sebanyak 8 peratus.

Flat Prime dan Plus juga tertakluk kepada tempoh penginapan minimum (MOP) 10 tahun serta bayaran balik subsidi apabila dijual semula.

Tiga projek kategori Standard di Yishun, Tengah dan Sembawang pula mempunyai MOP lima tahun tanpa syarat bayaran balik subsidi.

Projek Prime Toa Payoh Hillside menawarkan 1,176 unit flat fleksibel dua bilik dan flat empat bilik serta 256 apartmen penjagaan masyarakat (CCA) yang kini boleh dipohon individu berusia 55 tahun ke atas, berbanding 65 tahun sebelum ini.

Tempoh menunggu ialah tiga tahun sembilan bulan, dengan harga flat empat bilik antara $558,000 dengan $832,000 sebelum geran, dan $151,000 hingga $192,000 bagi apartmen penjagaan masyarakat.

Sebagai perbandingan, flat jualan semula empat bilik di Toa Payoh baru-baru ini dijual pada harga antara $820,000 dengan $1.2 juta, menurut HDB.

Toa Payoh Hillside akan dilengkapi medan selera, restoran makanan segera, pasar raya, sekolah tadika dan pusat penuaan aktif. 

Sebuah sekolah baharu juga mungkin dibina berhampiran projek itu di bawah pelan induk Toa Payoh West, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, pada 31 Oktober.

Dua projek Bayshore menawarkan 2,492 flat berhampiran stesen MRT Bayshore, dengan tempoh menunggu antara tiga tahun dua bulan dengan tiga tahun lapan bulan.

Bayshore Oasis, projek yang lebih kecil, menawarkan 855 flat fleksibel dua bilik dan empat bilik, serta pasar mini, kedai dan sekolah tadika, dengan tempoh menunggu selama tiga tahun dua bulan.

Bayshore Sails pula menawarkan 1,637 flat fleksibel dua bilik, tiga bilik dan empat bilik, dengan tempoh menunggu selama tiga tahun lapan bulan.

Merpati Meadow pula menawarkan 438 flat berhampiran stesen MRT Mattar, dengan tempoh menunggu selama tiga tahun tiga bulan.

Di estet baharu Sembawang North, Sembawang Anchor menawarkan 1,310 flat dengan tempoh menunggu paling singkat, iaitu dua tahun 10 bulan.

Projek itu menawarkan 1,310 flat fleksibel dua bilik, serta flat tiga, empat dan lima bilik di kawasan bersempadan dengan Admiralty Lane dan Sembawang Drive.

Harga sebelum geran bagi flat fleksibel dua bilik ialah $156,000 hingga $245,000; tiga bilik, $274,000 hingga $348,000; empat bilik, $312,000 hingga $428,000; dan lima bilik, $479,000 hingga $614,000.

Di Tengah, Plantation Dew menawarkan 710 flat, termasuk unit tiga generasi, dengan tempoh menunggu selama tiga tahun dua bulan.

Ini projek BTO pertama ditawarkan di kawasan itu sejak Oktober 2023.

Projek yang bersempadan dengan Tengah Garden Avenue, Plantation Walk dan taman yang bakal dibina itu terletak lima hingga 10 minit berjalan kaki dari dua stesen MRT Laluan Daerah Jurong (JRL), yang dijadualkan dibuka berperingkat antara 2028 dengan 2029.

Plantation Dew menawarkan “flat putih” berkonsep terbuka bagi unit tiga, empat dan lima bilik, tanpa dinding pemisah antara ruang tamu dengan bilik tidur, memberi pemilik lebih kebebasan mengubah suai kediaman mengikut cita rasa.

Pembeli boleh memilih susun atur flat putih ketika menempah flat atau menerima susun atur biasa dengan dinding pemisah.

Chencharu Acres di Yishun menawarkan 1,582 flat berhampiran stesen MRT Khatib.

Permohonan flat akan ditutup pada 11.59 malam, 11 November, menerusi Portal Flat HDB.

Encik Chee berkata lebih satu pertiga flat yang ditawarkan merupakan unit fleksibel dua bilik untuk individu bujang dan warga emas.

Encik Chee berkata kemampuan membeli rumah menjadi pertimbangan utama ramai pembeli, manakala yang lain mahu berpindah lebih awal, tinggal dekat dengan orang tersayang atau memiliki kediaman yang sesuai dengan keperluan apabila usia meningkat.

“Itulah sebabnya kami gigih membina lebih banyak flat di seluruh Singapura dengan lebih cepat,” katanya.

Menurut HDB, sebanyak 23,928 flat baharu dilancarkan pada 2026, terdiri daripada 19,608 flat BTO dan 4,320 flat baki.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Utama ERA Singapore, Encik Eugene Lim, menjangkakan persaingan sengit bagi projek Toa Payoh dan Bayshore.

Menurut beliau, ini kali kedua projek BTO ditawarkan di estet baharu Bayshore, selepas pelancaran pertama pada Oktober 2024.

Encik Lim berkata permohonan ketika itu melebihi jumlah flat ditawarkan kerana pembeli tertarik dengan tapak pesisir pantai berhampiran East Coast Park dan stesen MRT Bayshore.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PropNex, Encik Kelvin Fong, turut menjangkakan permintaan tinggi bagi Toa Payoh Hillside kerana berhampiran stesen pertukaran MRT Caldecott bagi Laluan Circle (CCL) dan Thomson-East Coast (TEL).

Beliau berkata projek CCA baru-baru ini kurang mendapat sambutan, namun pengurangan yuran bulanan pakej perkhidmatan asas dan peluasan kelayakan usia mungkin meningkatkan permintaan.

“Bagaimanapun, pakej penjagaan wajib mungkin kurang menarik bagi pemohon berusia lewat 50-an dan awal 60-an tahun yang kebanyakannya masih bekerja dan sihat,” tambahnya.

Dalam pelancaran BTO Februari depan, HDB akan menawarkan kira-kira 4,300 flat di Bishan, Tampines, Tengah dan Toa Payoh, termasuk apartmen CCA dalam satu daripada dua projek Tampines.

Kira-kira 5,000 flat baki turut ditawarkan.