Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) melancarkan 7,964 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) pada 4 November, termasuk 1,300 unit di Sembawang North dengan tempoh menunggu kurang tiga tahun.

Secara keseluruhannya, tujuh projek ditawarkan di Bedok, Geylang, Sembawang, Tengah, Toa Payoh dan Yishun dalam pelancaran jualan terakhir 2026.

Had pendapatan baharu sebanyak $16,000 bagi keluarga dan $8,000 bagi individu bujang turut berkuat kuasa.

Toa Payoh Hillside, satu-satunya projek Prime, dikenakan kadar bayaran balik subsidi 11 peratus.

Kadar bayaran balik subsidi ialah peratusan harga jualan semula atau nilai taksiran flat yang perlu dibayar kepada HDB apabila flat berkenaan dijual semula, mengikut nilai manakah yang lebih tinggi.

Terdapat tiga projek Plus iaitu Bayshore Oasis dan Bayshore Sails di Bedok, dengan kadar bayaran balik subsidi 9 peratus, serta Merpati Meadow di Geylang yang mempunyai kadar bayaran balik subsidi sebanyak 8 peratus.

Flat Prime dan Plus, yang terletak lebih hampir dengan pusat bandar, hab pengangkutan dan kemudahan, tertakluk kepada Tempoh Penginapan Minimum (MOP) 10 tahun serta bayaran balik subsidi apabila dijual semula.

Baki tiga projek, yang terletak di Yishun, Tengah dan Sembawang, pula dalam kategori Standard, iaitu mempunyai MOP lima tahun dan tiada syarat bayaran balik subsidi.

Projek Prime Toa Payoh Hillside menawarkan 1,176 unit flat dua bilik Fleksi dan empat bilik, serta 256 Apartmen Penjagaan Masyarakat (CCA) yang kini dibuka untuk permohonan individu berusia 55 tahun ke atas, berbanding syarat 65 tahun sebelum ini.

Flat di Toa Payoh Hillside mempunyai tempoh menunggu tiga tahun sembilan bulan.

Harga tanpa geran bagi flat dua bilik Flexi adalah antara $243,000 dengan $400,000; harga flat empat bilik antara $558,000 dengan $832,000 sebelum geran; dan $151,000 hingga $192,000 bagi CCA.

Sebagai perbandingan, flat jualan semula empat bilik di Toa Payoh baru-baru ini dijual pada harga antara $820,000 dengan $1.2 juta, kata HDB.

Toa Payoh Hillside akan dilengkapi medan selera, restoran makanan segera, pasar raya, sekolah tadika dan pusat penuaan aktif. 

Sebuah sekolah baharu juga mungkin dibina berhampiran projek itu di bawah pelan induk Toa Payoh West, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, pada 31 Oktober.

Dua projek Plus di Bayshore akan menawarkan 2,492 flat berhampiran stesen MRT Bayshore, dengan tempoh menunggu antara tiga tahun dua bulan dengan tiga tahun lapan bulan.

Bayshore Oasis, projek yang lebih kecil, menawarkan 855 flat Fleksi dua bilik dan flat empat bilik, serta pasar mini, kedai dan sekolah tadika, dengan tempoh menunggu selama tiga tahun dua bulan.

Bayshore Sails pula menawarkan 1,637 flat Fleksi dua bilik, tiga bilik dan empat bilik, dengan tempoh menunggu selama tiga tahun lapan bulan.

Merpati Meadow di Geylang pula menawarkan 438 flat berhampiran stesen MRT Mattar, dengan tempoh menunggu selama tiga tahun tiga bulan.

Di estet baharu Sembawang North, projek Sembawang Anchor menawarkan 1,310 flat dengan tempoh menunggu paling singkat, iaitu dua tahun 10 bulan.

Projek itu menawarkan 1,310 flat Fleksi dua bilik, serta flat tiga, empat dan lima bilik di kawasan bersempadan dengan Admiralty Lane dan Sembawang Drive.

Harga sebelum geran bagi flat Fleksi dua bilik adalah $156,000 hingga $245,000; tiga bilik, $274,000 hingga $348,000; empat bilik, $312,000 hingga $428,000; dan lima bilik, $479,000 hingga $614,000.

Di Tengah, Plantation Dew menawarkan 710 flat, termasuk unit tiga generasi, dengan tempoh menunggu selama tiga tahun dua bulan.

Ia projek BTO pertama ditawarkan di kawasan itu sejak Oktober 2023.

Projek yang bersempadan dengan Tengah Garden Avenue, Plantation Walk dan taman yang bakal dibina itu terletak lima hingga 10 minit berjalan kaki dari dua stesen MRT Laluan Daerah Jurong (JRL), yang dijadual dibuka secara berperingkat antara 2028 dengan 2029.

Plantation Dew menawarkan “flat putih” berkonsep terbuka bagi unit tiga, empat dan lima bilik, tanpa dinding pemisah antara ruang tamu dengan bilik tidur, memberi pemilik lebih kebebasan mengubah suai kediaman mengikut cita rasa.

Pembeli boleh memilih susun atur flat putih ketika menempah flat atau menerima susun atur biasa dengan dinding pemisah.

Chencharu Acres di Yishun menawarkan 1,582 flat berhampiran stesen MRT Khatib.

Permohonan flat akan ditutup pada 11.59 malam, 11 November, menerusi Portal Flat HDB.

Encik Chee dalam satu hantaran di Facebook berkata lebih satu pertiga flat yang ditawarkan merupakan unit Fleksi dua bilik untuk individu bujang dan warga emas.

Menurut Encik Chee, kemampuan membeli rumah menjadi pertimbangan utama ramai pembeli, manakala yang lain mahu berpindah lebih awal, tinggal dekat dengan orang tersayang atau memiliki kediaman yang sesuai dengan keperluan apabila usia meningkat.

“Itulah sebabnya kami gigih membina lebih banyak flat di seluruh Singapura dengan lebih cepat,” katanya.

Menurut HDB, sebanyak 23,928 flat baharu dilancarkan pada 2026, terdiri daripada 19,608 flat BTO dan 4,320 flat baki.

Pegawai Eksekutif Utama ERA Singapore, Encik Eugene Lim, menjangkakan persaingan sengit bagi projek Toa Payoh dan Bayshore.

Menurut beliau, ini kali kedua projek BTO ditawarkan di estet baharu Bayshore, selepas pelancaran pertama pada Oktober 2024.

Encik Lim berkata permohonan ketika itu melebihi jumlah flat ditawarkan kerana pembeli tertarik dengan tapak pesisir pantai berhampiran East Coast Park dan stesen MRT Bayshore.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PropNex, Encik Kelvin Fong, turut menjangkakan permintaan tinggi bagi Toa Payoh Hillside kerana kedudukannya yang berhampiran stesen pertukaran MRT Caldecott bagi Laluan Circle (CCL) dan Thomson-East Coast (TEL).

Menurutnya, projek CCA baru-baru ini kurang mendapat sambutan, namun pengurangan yuran bulanan pakej perkhidmatan asas dan peluasan kelayakan usia mungkin meningkatkan permintaan.

“Bagaimanapun, pakej penjagaan wajib mungkin kurang menarik bagi pemohon berusia lewat 50-an dan awal 60-an tahun yang kebanyakannya masih bekerja dan sihat,” tambah beliau.

Dalam pelancaran BTO Februari depan, HDB akan menawarkan kira-kira 4,300 flat di Bishan, Tampines, Tengah dan Toa Payoh, termasuk CCA dalam satu daripada dua projek Tampines.

Kira-kira 5,000 flat baki turut ditawarkan.